hamden11/11/2026 - 10:17 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 11 Nov - Prospek YTL Power International Berhad (YTL Power) kekal positif disokong asas perniagaan kumpulan yang kukuh terutamanya disokong perniagaan pusat data kolokasi, menurut CGS International Research (CGSI).
Firma penyelidikan itu berkata penilaian harga sasaran RM6.50 bagi YTL Power tidak mengambil kira sebarang nilai material daripada potensi perniagaan pusat data AI, sebaliknya disokong oleh perniagaan pusat data kolokasi (colocation DC) sedia ada.
Justeru, firma penyelidikan itu berpandangan kebimbangan pasaran terhadap rantaian bekalan cip AI, termasuk membabitkan rakan kerjasama kumpulan, Nvidia, tidak mengubah asas penilaian saham berkenaan.
"Kami mengekalkan saranan 'TAMBAH' terhadap YTL Power dengan harga sasaran tidak berubah pada RM6.50, yang mencerminkan potensi kenaikan sebanyak 38.6% berbanding harga semasa RM4.69," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut CGSI, kejatuhan harga saham YTL Power sebanyak 21% sejak akhir September 2026 merupakan reaksi pasaran yang berlebihan, sekali gus membuka peluang kepada pelabur untuk mengumpul saham berkenaan.
Penyusutan nilai pasaran kumpulan kira-kira RM10.7 bilion berpunca daripada kebimbangan global terhadap sektor pusat data, pelarasan bekalan gas dari Indonesia serta penelitian lebih ketat terhadap rantaian bekalan cip AI.
Pusat data kolokasi YTL Power kekal kukuh
Bagaimanapun, CGSI berpendapat prospek perniagaan pusat data kolokasi YTL Power kekal kukuh, dengan kumpulan kini mempunyai kapasiti terikat sebanyak 298 megawatt (MW) di Kulai Green DC Park, Johor.
Kapasiti itu disasarkan meningkat kepada 500MW menjelang akhir 2027, manakala sasaran jangka panjang kumpulan adalah sehingga 2.4 gigawatt (GW) di Kulai dan Sedenak Tech Park West.
Sementara itu, perniagaan PowerSeraya di Singapura dijangka mendapat manfaat daripada pemulihan ketara margin penjanaan elektrik (spark spread) kepada purata S$135 bagi setiap megawatt jam (MWh).
CGSI menganggarkan pemulihan itu berpotensi menambah pendapatan kira-kira RM35 juta setiap suku tahun, sekali gus mengimbangi kemungkinan kesan pengurangan bekalan gas dari Indonesia sebanyak RM38 juta pada suku kedua FY27F.
Selain itu, YTL Power telah memperoleh tempahan tujuh unit turbin gas daripada Siemens Energy dengan jumlah kapasiti 5.25GW, yang berpotensi menyumbang keuntungan bersih tahunan antara RM750 juta hingga RM950 juta.
CGSI menjelaskan penilaian harga sasaran RM6.50 hanya mengambil kira tiga unit turbin pertama, sekali gus menyediakan ruang potensi peningkatan nilai daripada baki empat unit lagi.
Unjuran keuntungan FY27 dinaikkan
Firma penyelidikan itu turut menaikkan unjuran keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) YTL Power bagi FY27F sebanyak 6.5% kepada RM2.02 bilion, susulan prospek margin PowerSeraya yang lebih kukuh.
Secara keseluruhan, CGSI berpandangan prospek jangka panjang YTL Power kekal kukuh, disokong aliran pendapatan berulang daripada perniagaan utiliti serta infrastruktur digital di Johor dan Singapura. - DagangNews.com





