Ekovest guna pembiayaan RM1.025 bilion perluas rangkaian lebuh raya DUKE

LocalBusiness & Finance
4 Nov 2026 • 12:13 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ekovest guna pembiayaan RM1.025 bilion perluas rangkaian lebuh raya DUKE Image from: Ekovest guna pembiayaan RM1.025 bilion perluas rangkaian lebuh raya DUKE liza04/11/2026 - 12:13 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 4 Nov – Ekovest Holdings Sdn Bhd akan menggunakan sebahagian daripada kemudahan pembiayaan RM1.025 bilion yang diperoleh daripada MBSB Bank Bhd dan MBSB Investment Bank Bhd untuk mengembangkan rangkaian Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE).

 

Selain itu, pembiayaan tersebut juga akan digunakan untuk menyokong pertumbuhan perniagaan lain kumpulan termasuk PLS Plantations Bhd, kata pemegang saham tunggal terbesar Ekovest Bhd, Tan Sri Lim Kang Hoo.

 

Beliau berkata, terbitan hak kumpulan itu baru-baru ini turut membantu membiayai rangkaian DUKE dan projek sambungannya, Lebuhraya Laluan Istana-Kiara (LIKE).

 

“Penstrukturan semula hutang bagi projek DUKE 3 yang diperlukan susulan peningkatan kos pembinaan melebihi anggaran asal juga sudah selesai selepas mendapat persetujuan pemegang bon,” katanya.

 

Fokus pembesaran rangkaian lebuh raya di Kuala Lumpur

Lim berkata, Ekovest akan memberi tumpuan kepada pembesaran rangkaian DUKE dan meningkatkan keupayaan pengagihan trafik di sekitar Kuala Lumpur, mengambil kira keadaan pasaran yang perlahan serta bilangan projek kerajaan yang terhad.

 

Beliau berkata, pertumbuhan penduduk dijangka terus menyokong permintaan terhadap rangkaian lebuh raya berkenaan dalam jangka panjang, selain keperluan menghubungkan pembangunan baharu oleh sektor swasta dan kerajaan.

 

Menurutnya, rangkaian DUKE dijangka berkembang seiring pembangunan Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya dengan pemaju perlu menggunakan rangkaian lebuh raya itu bagi menghubungkan projek pembangunan masing-masing.

 

Beliau berkata, tempoh konsesi tol selama 60 tahun turut menyediakan asas kepada pertumbuhan perniagaan yang lebih stabil dalam jangka panjang.

 

Lebuh Raya DUKE 1 dan DUKE 2 kini sudah mencatatkan keuntungan, dengan purata trafik harian tahunan gabungan sebanyak 240,000 kenderaan.

 

Projek LIKE bernilai RM2.5 bilion

Sementara itu, jumlah pembiayaan yang diperlukan bagi pembangunan Lebuhraya LIKE ditetapkan sebanyak RM2.5 bilion, dengan kerja pembinaan disasarkan bermula pada suku pertama tahun kewangan 2027 dan dijangka siap pada 2031.

 

Projek berkenaan merupakan sebahagian daripada rancangan Ekovest memperluas rangkaian lebuh rayanya bagi memenuhi keperluan pergerakan trafik di Kuala Lumpur.

 

PLS Plantations diberi peranan baharu dalam keselamatan makanan

 

Dalam perkembangan lain, Ekovest turut merancang mengubah hala tuju PLS Plantations, yang majoriti sahamnya dimiliki kumpulan itu, menjadi sebuah entiti khusus bagi menyokong usaha meningkatkan keselamatan makanan negara.

 

Lim berkata, tumpuan baharu itu merangkumi amalan pertanian mampan, akuakultur dan pengeluaran daging.

 

Antara perancangan kumpulan ialah menjalin kerjasama dengan petani tempatan bagi membantu mengembangkan perniagaan mereka, termasuk bekerjasama dengan institusi perbankan untuk menyediakan pembiayaan serta memperkenalkan teknologi lebih maju menerusi program keusahawanan.

 

PLS Plantations kini memiliki lebih 100,000 ekar tanah di Johor dan merancang memperluas pemilikan tanahnya ke negeri lain bagi menyokong pengembangan aktiviti berkaitan sektor makanan dan pertanian.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved