liza05/11/2026 - 10:32 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Nov – Paramount Corporation Berhad berdepan cabaran untuk mencapai sasaran jualan RM1.2 bilion bagi tahun kewangan 2026 (FY2026) susulan pelancaran projek pembangunan hartanah The Ashbourne di U-Thant yang hanya dijangka dilakukan pada suku keempat tahun ini, kata TA Research.
Firma penyelidikan itu berkata tempoh pelancaran yang semakin singkat menyebabkan Paramount mempunyai masa terhad untuk mendapatkan tempahan pembeli dan menukarkannya kepada jualan yang disahkan sebelum berakhirnya tahun kewangan.
“Paramount merekodkan jualan RM413 juta bagi separuh pertama 2026 (1H2026) dan untuk mencapai sasaran RM1.2 bilion itu, ia memerlukan jualan RM787 juta dalam separuh kedua tahun ini (2H2026). Jumlah itu hampir dua kali ganda jualan yang dicatatkan dalam enam bulan pertama tahun ini,” kata TA Research dalam nota kajiannya.
The Ashbourne, yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.34 bilion, menyumbang sebahagian besar daripada keseluruhan GDV pelancaran projek Paramount bernilai RM1.6 bilion yang dirancang bagi 2H2026.
Unjuran jualan FY2026 dikurangkan kepada RM860 juta
Susulan perkembangan itu, TA Research mengurangkan unjuran jualan Paramount bagi FY2026 kepada RM860 juta berbanding RM1.06 bilion sebelum ini, selepas mengeluarkan anggaran jualan RM200 juta daripada The Ashbourne yang sebelum ini dimasukkan dalam unjuran.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menjelaskan bahawa pengurangan unjuran jualan berkenaan tidak menjejaskan anggaran keuntungan teras FY2026 kerana sumbangan keuntungan daripada projek The Ashbourne sememangnya tidak dimasukkan dalam unjuran terdahulu, memandangkan kerja pembinaannya dijangka bermula pada 2027.
Dalam perkembangan berkaitan, Paramount bersetuju membentuk usaha sama dengan Mitsui Fudosan (Asia) Malaysia menerusi pegangan 51:49 dalam Meridian Kuasa Sdn Bhd (MKSB), syarikat yang akan membangunkan The Ashbourne.
Mitsui Fudosan akan mengambil 49% kepentingan dalam MKSB pada harga RM23.1 juta, manakala GDV projek berkenaan meningkat kepada RM1.34 bilion daripada RM1.1 bilion susulan jangkaan harga jualan lebih tinggi dan penambahbaikan pelan pembangunan selepas penyertaan rakan usaha sama itu.
Projek yang merangkumi 458 unit pangsapuri servis itu dijangka dilancarkan selepas memperoleh kelulusan berkaitan pada suku keempat 2026 dan disasarkan siap pada suku keempat 2030.
Penyertaan Mitsui sokong keyakinan pembeli
TA Research berpandangan penyertaan Mitsui Fudosan sebagai perkembangan positif kepada kedudukan jangka panjang The Ashbourne, khususnya ketika persaingan dalam segmen hartanah mewah di Kuala Lumpur semakin meningkat.
Antara projek yang bakal menambah persaingan termasuk pembangunan Taman U-Thant oleh Avaland, pembangunan semula Corus Hotel oleh Mah Sing Group, Jalan Ampang oleh UEM Sunrise dan EXSIM serta cadangan pembangunan semula UniRazak oleh Sime Darby Property.
Menurut firma penyelidikan itu, Paramount mempunyai rekod pembangunan yang baik di kawasan U-Thant menerusi The Ashwood dan The Atrium yang kedua-duanya telah habis dijual, manakala jenama serta kepakaran Mitsui dijangka membantu meningkatkan keyakinan pembeli terhadap The Ashbourne.
Paramount akan terus menerajui pembangunan, pemasaran dan jualan projek berkenaan, manakala penyertaan Mitsui turut membuka ruang kepada kadar jualan lebih pantas berbanding andaian semasa penganalisis.
TA Research bagaimanapun mengekalkan harga sasaran Paramount pada RM1.25 sesaham berdasarkan nisbah harga kepada nilai buku (P/B) 0.5 kali bagi tahun kalendar 2027 (CY2027), selain mengekalkan saranan 'Beli' terhadap saham syarikat itu.
Secara keseluruhan, firma penyelidikan itu melihat kerjasama berkenaan sebagai positif untuk prospek jangka panjang Paramount, meskipun pelancaran The Ashbourne yang lewat menjadikan sasaran jualan FY2026 lebih mencabar. - DagangNews.com




