Birokrasi lama perlu dihentikan, jangan biar negara ketinggalan 

PoliticsTechnology
27 Aug 2026 • 1:24 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Birokrasi lama perlu dihentikan, jangan biar negara ketinggalan 

KUALA LUMPUR: Amalan birokrasi lama yang mengekang menerokai teknologi baharu termasuk bidang kecerdasan buatan (AI) secara meluas perlu dihentikan supaya negara tidak ketinggalan dalam arus inovasi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara mesti bergerak pantas dalam memenuhi tuntutan semasa terutama dalam dunia inovasi dan komersialisasi. 

Katanya, Malaysia mempunyai keupayaan untuk bergerak pantas dalam menerokai bidang baharu khususnya teknologi berdasarkan pengenalan fakulti AI yang hanya  diwujudkan dalam masa tiga bulan sahaja.

“Sebab itu saya hendak gesa rakan-rakan terutama di MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi), kerana ini satu kementerian yang penting dari dulu, hala tuju baharu daripada sudut pemikiran dan meneroka alam pemikiran serta kaedah baru. 

“Kita tak boleh mengikut (cara lama) lagi, kita kena melangkah cepat. Maksudnya kita kena ada tahap kecepatan dan kepantasan dalam dunia pasca-normal ini. 

“Kita mesti melangkah. Kalau kita tunggu semua (sudah tersedia) baru nak diperkenalkan dengan komputer, sedangkan orang lain dah (ada kepakaran) AI dan ‘quantum computing’,” katanya pada Majlis Perasmian Pelancaran Ekspo Inovasi dan Pengkomersialan Negara (NICE 2026) di sini, hari ini.  

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menegaskan bidang baharu dalam teknologi dan inovasi sepatutnya dikuasai bukan segelintir kecil masyarakat tetapi didedahkan kepada khalayak lebih besar, termasuk diperkenalkan di peringkat sekolah dan di universiti.

“Mengapa soal AI itu menjadi milik kelompok kecil? Mengapa tak boleh kita dedahkan kepada khalayak? Mengapa soal teknologi kuantum yang sekarang menjadi fokus tidak disampaikan dengan bahasa yang mudah kepada anak-anak sekolah dan universiti? Apakah kita tiada keupayaan?

“Kalau kita nak tunggu sistem dan kurikulum sekolah dan universiti diubah, tentu ia mengambil masa. 

“Umpamanya bila kita usulkan jabatan atau Fakulti AI, segera dilaksanakan. Kalau ikut pendekatan lama, penubuhan satu fakulti itu mengikut kaedahnya, mesti merujuk kepada misalnya jabatan, kemudian Senat, sebelum itu perlu buat kajian dan barulah ke Kementerian Pendidikan Tinggi, maka satu tahunlah jawabnya (untuk menunggu),” katanya. –UTUSAN

The post Birokrasi lama perlu dihentikan, jangan biar negara ketinggalan  appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved