amree17/08/2026 - 11:40 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 17 Ogos – Platform perkongsian kereta antara bandar terbesar di dunia, BlaBlaCar melancarkan operasinya di Malaysia bagi membantu pengguna berkongsi kos perjalanan, mengurangkan kesesakan serta melengkapkan sistem pengangkutan awam sedia ada.
Kumpulan berpangkalan di Perancis tersebut dalam kenyataan berkata, kemasukan ke Malaysia pada 17 Ogos 2026 menandakan kehadiran pertamanya di rantau Asia Tenggara, sekali gus menjadikan jumlah pasaran global yang disertainya kepada 41 negara.
Platform itu menghubungkan pemandu persendirian yang mempunyai tempat duduk kosong dalam perjalanan antara bandar dengan penumpang menuju destinasi sama, membolehkan kos bahan api dan tol dikongsi tanpa model keuntungan daripada tambang perjalanan.
"Pelancaran ini hadir ketika harga petrol tidak bersubsidi meningkat hampir 36% sejak awal Mac 2026, mencecah RM3.62 seliter pada akhir Julai, walaupun rakyat Malaysia yang layak terus menikmati RON95 pada RM1.99 seliter menerusi program BUDI95," jelas BlaBlaCar.
Kebergantungan tinggi terhadap kenderaan persendirian turut membuka ruang kepada model berkenaan apabila Malaysia mencatatkan kira-kira 909 kenderaan bagi setiap 1,000 penduduk, hampir tiga kali ganda purata Asia Pasifik sebanyak 317 kenderaan bagi setiap 1,000 penduduk.
BlaBlaCar berkata, perkongsian kos perjalanan boleh membantu pemilik kenderaan mengurangkan perbelanjaan perjalanan sedia ada, dengan purata perjalanan di platform itu membawa 2.1 penumpang, sekali gus membolehkan pemandu mengimbangi lebih separuh kos bahan api dan tol.

Sistem penetapan harga BlaBlaCar pula mengira sumbangan munasabah setiap penumpang berdasarkan kadar bahan api tempatan dan jarak perjalanan, dengan bayaran dihadkan kepada pemulihan kos dan bukannya untuk menjana keuntungan.
Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas bersama BlaBlaCar, Nicolas Brusson, berkata platform itu menawarkan rumusan praktikal bagi perjalanan antara bandar dengan menghubungkan pengguna, berkongsi kos dan mengurangkan jumlah kenderaan persendirian di jalan raya.
"Sebanyak 290.1 juta perjalanan pelancongan domestik direkodkan di Malaysia pada 2025, dengan hampir 260 juta daripadanya menggunakan kenderaan persendirian, menunjukkan potensi besar untuk penyelesaian perkongsian kereta antara bandar," katanya.
Penggunaannya juga dijangka memberi pilihan lebih fleksibel bagi laluan jarak sederhana yang kurang mendapat liputan pengangkutan awam, selain mengurangkan jumlah kenderaan yang hanya membawa seorang pemandu.
Untuk menggunakan platform itu, pemandu hanya perlu memuat naik perjalanan dirancang berserta lokasi asal, destinasi, tarikh, tempat duduk tersedia dan harga, sebelum penumpang mencari laluan sesuai dan menempah tempat menerusi aplikasi atau laman web BlaBlaCar.
Dengan komuniti 30 juta pengguna aktif tahunan, BlaBlaCar turut menyediakan ciri keselamatan termasuk pengesahan identiti, nombor telefon dan e-mel, sistem penilaian serta ulasan selepas perjalanan, selain pasukan khidmat pelanggan bagi memantau aktiviti serta memastikan pematuhan garis panduan komuniti. - DagangNews.com





