hamden14/08/2026 - 13:03 Gambaran artis Taman Bioindustri Sarawak. Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 14 Ogos - Sarawak mencadangkan pelaburan RM50 juta untuk membangunkan hab perubatan regeneratif bersepadu pertama di Asia Tenggara, yang bakal menghimpunkan aktiviti penyelidikan, pembuatan dan aplikasi klinikal di bawah satu bumbung.
Hab yang dikenali sebagai Sarawak Regenerative BioFoundry itu merupakan kerjasama antara Malaysian Bioeconomy Development Corp (Bioeconomy Corp) dan BioVerde Technologies Sdn Bhd, cabang komersial Sarawak Biodiversity Council.
Terletak di Taman Bioindustri Sarawak, kemudahan berkenaan akan memberi tumpuan kepada pembangunan produk terapi sel dan gen, termasuk teknologi yang menggunakan sel hidup atau bahan genetik untuk merawat penyakit kompleks seperti jenis kanser tertentu dan gangguan genetik.
Bioeconomy Corp berkata BioFoundry itu akan mempercepatkan proses membawa inovasi perubatan regeneratif daripada peringkat penyelidikan makmal kepada pesakit, selain menyokong pengeluaran dan bekalan produk kepada hospital serta rakan klinikal di Sarawak dan rantau sekitarnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corp, Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak, berkata pembangunan infrastruktur serta laluan komersialisasi yang lebih jelas diperlukan bagi memastikan hasil penyelidikan penjagaan kesihatan dapat diterjemahkan kepada rawatan yang boleh dimanfaatkan pesakit.
“Terapi sel dan gen masih merupakan bidang yang sedang berkembang di Malaysia. Walaupun syarikat bioteknologi tempatan sedang membangunkan teknologi yang berpotensi, banyak yang masih berdepan cabaran mendapatkan pengesahan klinikal dan membawa produk mereka ke pasaran,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, Bioeconomy Corp kini menyokong syarikat bioteknologi yang membangunkan lebih 50 produk terapi sel dan gen, sekali gus menyediakan saluran berpotensi untuk dimanfaatkan BioFoundry.
Kemudahan itu akan membolehkan syarikat dalam ekosistem Bioeconomy Corp menguji, mengesahkan dan memajukan teknologi mereka dalam persekitaran penjagaan kesihatan sebenar.
Empat Komponen Utama
BioFoundry akan merangkumi empat komponen utama, iaitu pembuatan, aktiviti klinikal, teknologi dan penyelidikan serta kesejahteraan.
Ia akan beroperasi mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan dan keperluan kawal selia berkaitan bagi memastikan aktiviti penyelidikan, pembuatan dan klinikal memenuhi piawaian ditetapkan.
Di bawah kerjasama tersebut, Bioeconomy Corp dan BioVerde akan membangunkan aktiviti berkenaan secara bersama, selain memudah cara hubungan dengan pengawal selia penjagaan kesihatan serta menyokong pembangunan bakat dan akses kepada insentif.
Ketua Pegawai Eksekutif BioVerde, Hazwan Razak, berkata BioFoundry berpotensi menjadi pemangkin kepada pembangunan industri bernilai tinggi di Taman Bioindustri Sarawak.
Katanya, kemudahan itu akan menghubungkan elemen penyelidikan, pembuatan, aplikasi klinikal dan pelaburan dalam satu ekosistem, sekali gus mewujudkan platform lebih tersusun untuk pembangunan teknologi perubatan regeneratif.
Inisiatif itu turut dijangka menyokong usaha mempelbagaikan ekonomi Sarawak menerusi tarikan pelaburan baharu, penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi serta pengukuhan ekosistem bioteknologi dan penjagaan kesihatan negeri.
Kerjasama tersebut dibina berasaskan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Bioeconomy Corp dan BioVerde pada Oktober 2025. - DagangNews.com




