liza07/10/2026 - 10:38 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Okt – Kedudukan Blok L8/66 yang bersebelahan dengan aset minyak dan gas sedia ada Dialog Group Berhad di Thailand akan memberi kelebihan kepada kumpulan dari segi kos dan tempoh pembangunan sekiranya penemuan berjaya dibuat, kata MBSB Research.
Firma penyelidikan itu berkata kedudukan blok baharu itu bersebelahan dengan Blok L53/48 yang kini dikendalikan syarikat usaha sama tidak langsungnya, Pan Orient Energy (Siam) Ltd. (POES) yang membolehkan Dialog memanfaatkan infrastruktur dan kemudahan operasi sedia ada untuk membangunkan aset berkenaan.
“Blok L8/66 sebelum ini merupakan sebahagian daripada kawasan konsesi L53/48 sebelum diserahkan semula mengikut peraturan konsesi.
“Keadaan itu bermakna POES sudah mempunyai pengetahuan mengenai ciri geologi dan takungan di kawasan berkenaan yang akan mengurangkan risiko geologi ketika meneroka blok baharu tersebut.
Dekat dengan aset sedia ada, kos berpotensi lebih rendah
“Lebih penting, POES berpotensi menggunakan kemudahan pemprosesan pusat, saluran paip, pangkalan logistik, rantaian bekalan dan data geologi yang tersedia daripada operasi L53/48,” kata MBSB Research dalam nota kajiannya.
Perkongsian infrastruktur ini berpotensi memendekkan tempoh pembangunan serta mengurangkan perbelanjaan modal bagi Blok L8/66.
Satu kawasan, dua manfaat kepada Dialog
Sebagai operator Blok L8/66, POES akan memegang 70% kepentingan penyertaan manakala CanAsia Energy Corp memegang baki 30%.
Kedudukan Dialog sebagai operator juga memberi kelebihan kerana kumpulan boleh menyalurkan kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan penyelenggaraan (EPCIC) kepada bahagian perkhidmatan dalam kumpulannya sendiri.
ARTIKEL BERKAITAN: Dialog dapat hak konsesi blok minyak dan gas L8/66 di Thailand
MBSB Research berkata ini membolehkan Dialog meraih manfaat daripada dua sumber sekiranya blok berkenaan dibangunkan, iaitu kepentingan dalam pengeluaran minyak dan gas serta kerja-kerja perkhidmatan berkaitan projek.
Firma itu menganggarkan Dialog perlu menanggung sekurang-kurangnya AS$5 juta (kira-kira RM22 juta) daripada komitmen kerja minimum AS$14.3 juta (RM57.9 juta) bagi blok tersebut.
Jumlah itu, menurut firma penyelidikan berkenaan, boleh dibiayai melalui penjanaan tunai dalaman tanpa memerlukan tambahan hutang.
Potensi besar jika penemuan berjaya
“Namun, manfaat kewangan daripada Blok L8/66 belum akan dirasai dalam masa terdekat kerana Dialog masih perlu melalui proses penerokaan dan pembangunan sebelum pengeluaran komersial boleh dimulakan.
“Kami tidak menjangka sebarang kesan terhadap pendapatan Dialog bagi FY2027 dan tidak mengubah unjuran pendapatannya sehingga penemuan hidrokarbon pertama disahkan,” katanya.
MBSB Research menganggarkan pembangunan Blok L8/66 selepas penemuan komersial berpotensi meningkatkan margin keuntungan bersih Dialog sehingga 35%.
Sehubungan itu, MBSB Research mengekalkan saranan ‘Beli’ terhadap Dialog dengan harga sasaran RM2.57. - DagangNews.com





