Pengalaman operasi di Baram beri kelebihan kepada Dialog kendali Kluster Raja – Penganalisis

LocalBusiness & Finance
22 Sep 2026 • 9:53 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pengalaman operasi di Baram beri kelebihan kepada Dialog kendali Kluster Raja – Penganalisis Image from: Pengalaman operasi di Baram beri kelebihan kepada Dialog kendali Kluster Raja – Penganalisis liza22/09/2026 - 09:53 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 22 Sept – Dialog Group Bhd terus mengorak langkah dalam perniagaan huluan minyak dan gas apabila pembangunan Kluster Raja bernilai AS$81 juta (kira-kira RM330 juta) kini mendapat lampu hijau PETRONAS dengan pengeluaran komersial pertama disasarkan sekitar September 2028, kata penganalisis.

 

Perkembangan itu bukan sekadar menambah satu lagi aset kepada portfolio Dialog, malah penganalisis berpandangan ia memberi laluan kepada kumpulan berkenaan untuk membina sumber pendapatan baharu daripada pengeluaran minyak selepas pengalaman mengendalikan Kluster Baram Junior.

 

MBSB Research berkata Dialog telah mencapai keputusan pelaburan muktamad (FID) bagi projek tersebut selepas mendapat kelulusan PETRONAS menerusi Malaysia Petroleum Management (MPM).

 

Kluster Raja dibangunkan di bawah kontrak perkongsian pengeluaran aset medan kecil (SFA PSC) selama 14 tahun yang dianugerahkan kepada Dialog Resources Sdn Bhd pada Disember 2024.

 

Kontrak itu merangkumi dua tahun fasa sebelum pembangunan, dua tahun pembangunan dan sehingga 10 tahun tempoh pengeluaran, dengan projek berkenaan mempunyai rizab terbukti dan berkemungkinan (2P) sekitar 6.1 juta tong minyak.

 

Pengalaman jadi kelebihan

MBSB Research berkata pengalaman Dialog mengendalikan Kluster Baram Junior boleh dimanfaatkan bagi pembangunan Kluster Raja termasuk dari segi kepakaran teknikal dan operasi.

 

“Bagi projek itu, Dialog akan menggunakan sistem platform Tarpon yang lebih ringan yang mempunyai kos lebih rendah berbanding platform kepala telaga tradisional.

 

“Sistem berkenaan sesuai dengan keadaan Kluster Raja yang terletak di perairan cetek dengan kedalaman kurang daripada 100 meter, sekali gus membantu menjadikan pembangunan medan kecil lebih berdaya maju dari segi kos.

 

“Dialog juga mempunyai pasukan kejuruteraan, fabrikasi dan pelaksanaan projek luar pesisir yang boleh menyokong pembangunan infrastruktur projek, selain memanfaatkan perkhidmatan teknikal sedia ada,” kata MBSB Research dalam nota kajiannya.

 

Sementara itu, PublicInvest Research berkata keputusan pelaburan muktamad itu memberikan keterlihatan lebih jelas terhadap perkembangan portfolio huluan Dialog yang semakin berkembang.

 

Pengeluaran mula sekitar 2028

Firma penyelidikan itu berkata Dialog menyasarkan pengeluaran komersial pertama menjelang akhir tempoh pembangunan dua tahun, yang dianggarkan sekitar September 2028.

 

Pada peringkat awal, Dialog belum mendedahkan profil pengeluaran dan kos operasi projek, menyebabkan anggaran sumbangan kewangan masih bergantung kepada perkembangan sebenar operasi.

 

Berdasarkan anggaran awal PublicInvest mengenai pengeluaran 3,000 tong sehari dan harga minyak AS$65 setong, Kluster Raja dijangka menyumbang sekitar RM30 juta hingga RM50 juta kepada keuntungan Dialog pada tahun kewangan 2029.

 

“Sumbangan itu berpotensi meningkat kepada sekitar RM50 juta hingga RM70 juta pada tahun kewangan 2030, iaitu tahun penuh pertama pengeluaran, berdasarkan andaian yang sama,” katanya.

 

MBSB Research pula mengunjurkan pengeluaran komersial Kluster Raja berpotensi meningkatkan hasil Dialog sekitar 3% hingga 5%, manakala keuntungan bersih kumpulan boleh meningkat antara 5% hingga 10% sepanjang tempoh pengeluaran.

 

Risiko masih perlu dipantau

Walaupun perkembangan itu memberi peluang kepada Dialog memperluas sumber pendapatan huluan, MBSB Research berkata beberapa risiko masih perlu diberi perhatian termasuk keadaan geologi bawah permukaan yang kompleks.

 

Keadaan tersebut berpotensi menyebabkan pengeluaran sebenar lebih rendah berbanding anggaran rizab 2P sebanyak 6.1 juta tong, manakala turun naik harga minyak dan gas pula boleh menjejaskan margin serta tempoh mendapatkan semula kos pembangunan.

 

Gangguan rantaian bekalan, keadaan cuaca dan peningkatan kos operasi luar pesisir turut berpotensi menyebabkan kos projek meningkat atau berlaku kelewatan dalam pelaksanaan.

 

MBSB Research tidak mengubah anggaran pendapatan Dialog pada ketika ini kerana kesan kewangan Kluster Raja dijangka lebih jelas selepas pengeluaran bermula, manakala PublicInvest menaikkan harga sasaran Dialog kepada RM2.10 daripada RM2.07 dan mengekalkan penarafan Neutral.

 

Bagi MBSB Research, firma itu mengekalkan saranan Beli dengan harga sasaran RM2.57 dan mahu menunggu pengeluaran minyak pertama sebelum membuat sebarang perubahan terhadap anggaran pendapatan kumpulan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved