Dialog dapat hak konsesi blok minyak dan gas L8/66 di Thailand

WorldBusiness & Finance
6 Oct 2026 • 6:13 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Dialog dapat hak konsesi blok minyak dan gas L8/66 di Thailand Image from: Dialog dapat hak konsesi blok minyak dan gas L8/66 di Thailand liza06/10/2026 - 18:13 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Okt – Dialog Group Berhad menerusi syarikat usaha sama tidak langsungnya, Pan Orient Energy (Siam) Ltd. (Poes) memperoleh hak konsesi dan pengendalian bagi blok penerokaan minyak dan gas L8/66 di daratan Thailand.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Dialog berkata Poes menerima pemberitahuan daripada Kerajaan Thailand pada 5 Oktober 2026 berhubung penganugerahan konsesi berkenaan.

 

Konsesi itu bagaimanapun tertakluk kepada pemuktamadan dan pelaksanaan perjanjian konsesi selain memenuhi semua syarat terdahulu (conditions precedent) yang ditetapkan dalam perjanjian berkenaan.

 

Kerja-kerja fizikal dijangka bermula sebaik sahaja perjanjian konsesi tersebut ditandatangani.

 

Poes pegang 70% kepentingan

Menurut Dialog, konsesi L8/66 dianugerahkan kepada Poes dan CanAsia Energy Corp (CanAsia) susulan bidaan bersama yang dikemukakan dalam Pusingan Bidaan Daratan Thailand ke-25.

 

Pembangunan blok berkenaan mempunyai komitmen kerja minimum sebanyak AS$14.3 juta, dengan Poes memegang 70% kepentingan penyertaan dan bertindak sebagai operator, manakala CanAsia memegang baki 30% kepentingan bukan operator.

 

Poes merupakan syarikat usaha sama antara anak syarikat milik tidak langsung Dialog sepenuhnya, Pan Orient Petroleum Pte Ltd yang memegang 50.01% kepentingan dan Sea Oil Energy Limited dengan pegangan 49.99%.

 

Bersebelahan kawasan operasi sedia ada

Dialog menerusi Poes kini mengendalikan konsesi daratan L53/48 yang sedang mengeluarkan hasil di Thailand.

 

Blok L8/66 terletak bersebelahan dengan kawasan konsesi L53/48 dan sebelum ini merupakan sebahagian daripada konsesi sama sebelum diserahkan kembali kepada Kerajaan Thailand mengikut syarat konsesi yang mewajibkan sebahagian kawasan yang belum dibangunkan dilepaskan dari masa ke semasa.

 

Dengan penganugerahan baharu itu, Dialog berkata blok L8/66 dijangka mendapat manfaat daripada kedudukannya yang berhampiran kawasan konsesi L53/48 serta mempunyai ciri geologi yang serupa.

 

Keadaan itu turut memberikan Poes akses kepada kawasan tambahan yang mengelilingi medan pengeluaran sedia ada.

 

Sokong pengembangan portfolio huluan

Dialog berkata penganugerahan konsesi L8/66 mengukuhkan portfolio aktiviti huluan kumpulan itu dan mewujudkan sinergi operasi melalui penggunaan perkhidmatan teknikal bersepadu (Integrated Technical Services) kumpulan.

 

Menurut kumpulan itu, perkembangan berkenaan turut membuka peluang pertumbuhan pada masa depan, menyokong penyediaan perkhidmatan kumpulan serta menyumbang kepada kelangsungan perniagaan jangka panjang.

 

Bagi tahun kewangan semasa, konsesi L8/66 tidak dijangka memberi kesan terhadap modal saham dan pegangan pemegang saham utama Dialog.

 

Ia juga tidak dijangka memberi kesan material kepada pendapatan, aset bersih dan tahap hutang berbanding ekuiti (gearing) kumpulan bagi tahun kewangan semasa, namun dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan Dialog pada masa depan.

 

Dialog berkata konsesi tersebut tidak memerlukan kelulusan pemegang saham dan setakat pengetahuan lembaga pengarah, tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak yang berkaitan dengan mereka mempunyai kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam konsesi L8/66. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved