Platform media sosial Bluesky baru-baru ini telah memperkenalkan kemaskini dan ciri-ciri baru pada cara anda boleh menerima notifikasi anda, dengan membolehkan anda mengubahsuai aktiviti apakah daripada platform tersebut yang akan menghantar notifikasi kepada anda.
Kebanyakan aplikasi secara lazimnya akan memberikan anda sejumlah kecil pilihan untuk aktiviti apakah yang akan menghantar notifikasi kepada anda. Bluesky sedar bahawa kadang-kala anda hanya mahu menerima notifikasi daripada aktiviti-aktiviti dan juga pengguna-pengguna tertentu sahaja.

Oleh kerana ini, mereka telah mengemaskini tetapan notifikasi aplikasi yang membolehkannya menghantar notifikasi melalui keadaan-keadaan tertentu sahaja. Bluesky telah membahagikan fokus tetapan notifikasi kepada tiga bahagian:
- Notifikasi Aktiviti: Ikut serta untuk menerima notifikasi daripada akaun tertentu.
- Tetapan Notifikasi Dipertingkat: Kawalan untuk memperhalusi notifikasi yang diterima.
- Notifikasi Siar Semula: Notifikasi apabila seseorang menyukai atau menghantar semula hantaran yang telah anda hantarkan semula.
Anda kini juga boleh menetapkan untuk menerima notifikasi daripada akaun-akaun yang anda ikut. Setiap kali akaun tersebut mengeluarkan hantaran baru, anda akan menerima notifikasi mengenainya. Untuk mengaktifkan ciri ini, anda hanya perlu ke profil akaun tersebut, dan menekan ikon loceng yang tertera di sebelah butang mengikut.

Bluesky juga telah mengemaskini tetapan notifikasi untuk membolehkan anda menetapkan aktiviti apakah yang akan menghantar notifikasi pada peranti anda. Anda juga boleh menetapkan untuk mendapatkan notifikasi daripada semua pengguna Bluesky, ataupun hanya daripada akaun-akaun yang anda ikut.

Tidak kira jika anda seseorang yang mahukan notifikasi tentang aktiviti-aktiviti media sosial sebanyak yang mungkin, atau hanya kisah tentang aktiviti daripada akaun-akaun yang anda kenali dan ikuti, Bluesky dilihat telah memperkenalkan ciri-ciri tambahan ini khas untuk anda.


