BMI naikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 5.3% pada 2026, 4.8% pada 2027

LocalBusiness & Finance
19 Nov 2026 • 10:30 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

BMI naikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 5.3% pada 2026, 4.8% pada 2027 Image from: BMI naikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 5.3% pada 2026, 4.8% pada 2027 sarah19/11/2026 - 10:30 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Nov - BMI, unit Fitch Solutions, menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 5.3% bagi 2026 daripada 5.1% sebelumnya, manakala ramalan bagi 2027 turut ditingkatkan kepada 4.8% daripada 4.5%, disokong permintaan berkaitan kecerdasan buatan (AI), pelaburan yang kukuh dan perbelanjaan pengguna yang berdaya tahan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, semakan menaik berkenaan dibuat selepas ekonomi Malaysia berkembang 5.5% pada suku ketiga 2026, mengatasi unjuran awal BMI sebanyak 5.2% dan konsensus pasaran 5.3%, walaupun pertumbuhan itu lebih perlahan berbanding 6% pada suku sebelumnya.

 

Menurut BMI, prestasi lebih kukuh daripada jangkaan itu menjadikan pertumbuhan ekonomi bagi sembilan bulan pertama 2026 sebanyak 5.6%, sekali gus memberi ruang kepada ekonomi Malaysia mengekalkan momentum positif meskipun kadar pengembangan dijangka sederhana pada tahun depan.

 

Permintaan AI terus sokong eksport

BMI berkata, permintaan global terhadap teknologi AI dijangka terus menyokong eksport elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia sehingga 2027, walaupun kadar pertumbuhannya berkemungkinan perlahan berbanding paras tinggi ketika ini.

 

Firma itu merujuk unjuran TrendForce yang meningkatkan anggaran perbelanjaan modal sembilan penyedia perkhidmatan awan terbesar dunia kepada lebih AS$957 bilion (RM3.94 trilion) pada 2026, sebelum dijangka meningkat 60% kepada AS$1.5 trilion (RM6.17 trilion) pada 2027, sekali gus menunjukkan permintaan terhadap infrastruktur teknologi masih kukuh.

 

Bagaimanapun, BMI menjangkakan pertumbuhan eksport E&E Malaysia menjadi lebih sederhana pada 2027, memandangkan prestasi sektor itu berkait rapat dengan kitaran pelaburan teknologi global, khususnya perbelanjaan berkaitan komputer di Amerika Syarikat.

 

Pelaburan dan gaji minimum pacu ekonomi

Dari segi pelaburan, BMI berkata, jumlah pelaburan diluluskan di Malaysia meningkat 20.7% kepada RM350.4 bilion bagi sembilan bulan pertama 2026, manakala 13.1% daripada pelaburan yang diluluskan pada 2025 masih belum dilaksanakan, menyediakan ruang untuk pertumbuhan aktiviti ekonomi pada tahun depan.

 

Firma itu turut menjangkakan perbelanjaan isi rumah kekal kukuh, disokong pertumbuhan gaji benar sektor perkhidmatan sebanyak 2.8% serta kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 yang dijadualkan berkuat kuasa pada Jun 2027, selain bantuan kewangan sekali bayar kepada penjawat awam.

 

Risiko geopolitik dan sekatan teknologi AS

Namun, BMI memberi amaran bahawa ketegangan antara Amerika Syarikat dan Iran berpotensi meningkatkan harga minyak, inflasi makanan serta perbelanjaan subsidi bahan api kerajaan, manakala fenomena El Niño boleh menjejaskan pengeluaran komoditi pertanian termasuk minyak sawit, beras dan koko.

 

BMI turut melihat kemungkinan sekatan teknologi lebih ketat oleh Amerika Syarikat sebagai risiko kepada pertumbuhan Malaysia kerana langkah itu boleh menyukarkan pengendali pusat data mendapatkan cip AI termaju, sekali gus melambatkan pelaburan baharu dan menjejaskan usaha negara menjadi hab pusat data serantau.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved