Malaysian Re sumbang 87% keuntungan MNRB ketika kumpulan susun semula perniagaan

LocalBusiness & Finance
19 Nov 2026 • 6:01 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Malaysian Re sumbang 87% keuntungan MNRB ketika kumpulan susun semula perniagaan Image from: Malaysian Re sumbang 87% keuntungan MNRB ketika kumpulan susun semula perniagaan sarah19/11/2026 - 18:01 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Nov - Malaysian Reinsurance Berhad (Malaysian Re) menyumbang 87% daripada keuntungan selepas cukai MNRB Holdings Berhad bagi separuh pertama tahun kewangan 2027, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai penyumbang utama pendapatan ketika kumpulan itu merancang penyusunan semula perniagaan.

 

MNRB berkata, keuntungan selepas cukai Malaysian Re meningkat 17.7% kepada RM243 juta bagi tempoh enam bulan berakhir 30 September 2026, berbanding RM206.5 juta dalam tempoh sama tahun lalu, disokong prestasi pengunderaitan yang lebih baik dan pengurangan perbelanjaan perkhidmatan insurans.

 

Peningkatan itu turut didorong perkembangan tuntutan yang lebih menggalakkan serta pemulihan bayaran tuntutan, khususnya dalam portfolio insurans khusus dan perniagaan yang diuruskan melalui ejen pengurusan am, sekali gus meningkatkan hasil perkhidmatan insurans dan takaful Malaysian Re sebanyak 4.3% kepada RM240.1 juta.

 

Sumbangan besar Malaysian Re itu memperlihatkan kepentingan perniagaan insurans semula dan takaful semula kepada MNRB, ketika kumpulan berusaha memperkukuh operasi teras serta memperluas kehadirannya dalam pasaran antarabangsa.

 

Pelupusan Takaful IKHLAS sokong penyusunan semula

MNRB berkata, cadangan pelupusan perniagaan Takaful IKHLAS bertujuan membuka nilai kepada pemegang saham, selain memberikan kumpulan lebih fleksibiliti untuk menyalurkan modal dan sumber kepada perniagaan insurans semula dan takaful semula.

 

Pada masa sama, cadangan pengambilalihan Labuan Reinsurance (L) Ltd (Labuan Re) dijangka melengkapi operasi Malaysian Re melalui platform insurans semula luar pesisir yang sudah bertapak, sekali gus memperluas akses kepada pasaran antarabangsa dan memperkukuh keupayaan kumpulan.

 

Malaysian Re turut meneruskan Inisiatif Pemodelan Banjir Nasional bagi meningkatkan keupayaan menilai risiko banjir, selain memajukan pelaksanaan MediAsas susulan pelantikannya sebagai pentadbir pengumpulan risiko di bawah agenda Bank Negara Malaysia untuk meningkatkan akses dan kemampuan mendapatkan perlindungan kesihatan.

 

Keuntungan kumpulan kekal pada RM279.4 juta

Bagi separuh pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2027, MNRB mencatatkan keuntungan selepas cukai RM279.4 juta berbanding RM280.7 juta setahun lalu, manakala hasil insurans dan takaful meningkat 4.7% kepada RM1.76 bilion daripada RM1.68 bilion.

 

Hasil perkhidmatan insurans dan takaful kumpulan meningkat 7% kepada RM290.6 juta daripada RM271.5 juta, manakala pulangan atas ekuiti bertambah kepada 13.5% berbanding 11.6%. Sementara itu, Takaful IKHLAS merekodkan pertumbuhan hasil 15.3% kepada RM843 juta, tetapi keuntungan selepas cukainya susut kepada RM48.4 juta daripada RM53.6 juta akibat hasil pelaburan bersih yang lebih rendah dalam perniagaan takaful keluarga.

 

MNRB berkata, kumpulan kekal optimis secara berhati-hati terhadap prospek separuh kedua tahun kewangan 2027 dan akan terus memberi tumpuan kepada pengukuhan perniagaan utama, pengurusan modal berhemat serta peluang pertumbuhan terpilih di Malaysia dan pasaran antarabangsa, sejajar dengan usaha membentuk kumpulan insurans semula dan takaful semula yang lebih berdaya saing.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved