
PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) mampu merampas beberapa kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti sekiranya terus memberi tumpuan khidmat rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem berkata, rakyat ketika ini semakin bijak menilai kemampuan setiap calon dan lebih cenderung memilih individu yang mampu membuktikan perkhidmatan dan bukan hanya bergantung kepada janji semata-mata.
“UMNO dan BN memang mengamalkan politik khidmat. Hari ini rakyat mahukan orang yang boleh berkhidmat untuk mereka.
“Wakil rakyat ialah orang yang bekerja untuk rakyat dan menjadi client kepada rakyat. Siapa yang boleh menyentuh hati rakyat, turun padang dan menyelesaikan masalah mereka, sudah tentu mendapat sokongan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.
Pada PRN Melaka 2021, BN menang 21 daripada keseluruhan 28 kerusi DUN manakala Perikatan Nasional (PN) menerusi parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendapat dua kerusi.
Pakatan Harapan (PH) pula menguasai lima kerusi dengan empat daripadanya disumbangkan DAP manakala satu menerusi Parti Amanah Negara (Amanah).
Mohd. Noor Helmy berkata, peluang untuk membuktikan kemampuan dan perkhidmatan kepada rakyat kini terbuka kepada semua parti politik.
Katanya, keadaan itu membolehkan rakyat membuat penilaian sendiri terhadap parti yang benar-benar bekerja untuk mereka berbanding pihak yang hanya banyak bercakap tanpa menunjukkan bukti.
“Sebelum ini, DAP dan parti politik lain mungkin tidak mempunyai peluang untuk membuktikan perkhidmatan mereka.
“Sekarang semua parti ada ruang dan platform untuk menunjukkan khidmat kepada rakyat. Maka daripada situ rakyat boleh bezakan mana parti yang benar-benar berkhidmat dan mana yang lebih banyak bercakap tanpa bukti,” katanya. – UTUSAN
The post BN mampu tambah kerusi dalam PRN Melaka appeared first on Utusan Malaysia.






