BN-PN cipta sejarah tubuh barisan Exco Negeri Sembilan

LocalPolitics
7 Aug 2026 • 11:49 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: BN-PN cipta sejarah tubuh barisan Exco Negeri Sembilan

KUALA PILAH – Negeri Sembilan hari ini melakar sejarah politik baharu apabila buat julung-julung kalinya menyaksikan wakil Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bergandingan dalam barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Balairung Seri Istana Besar Seri Menanti itu menyaksikan seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Tumpuan terarah kepada pelantikan dua wakil PN sebagai Exco iaitu ADUN Serting, Mohd. Fairuz Mohd. Isa yang juga Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan serta ADUN Sikamat, Datuk Razali Abu Samah, sekali gus mengesahkan pembentukan kerajaan negeri BN-PN buat kali pertama di negeri beradat itu.

Turut mengangkat sumpah ialah Suhaimizan Bizar (Gemencheh), Datuk Zaifulbahri Idris (Chembong), Datuk Mohd. Razi Mohd. Ali (Sungai Lui), Siow Kong Choon (Chennah), Datuk Mohd. Asna Amin (Lenggeng), Siti Nur Umairah Hasim (Labu), selain dua Exco yang dikekalkan iaitu Datuk Mustapha Nagoor (Palong) dan Datuk Mohd. Faizal Ramli (Linggi).

Majlis yang bermula pada pukul 10 pagi itu turut dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, beberapa ADUN Pakatan Harapan (PH) serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Ahad lalu, Ismail yang juga ADUN Juasseh mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan ke-9 selepas BN dan PN membentuk kerajaan negeri susulan kemenangan majoriti 25 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri minggu lalu.

BN memenangi 18 kerusi DUN, manakala PN memperoleh 11 kerusi, sekali gus membolehkan kedua-dua gabungan itu membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga. – KOSMO! ONLINE

The post BN-PN cipta sejarah tubuh barisan Exco Negeri Sembilan appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved