
KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) tidak lagi boleh mengambil pendekatan ‘tangkap muat’ dalam mengetengahkan calon kerana setiap individu yang mahu menjadi pemimpin kini berdepan penelitian lebih ketat daripada rakyat.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perubahan landskap politik menuntut parti memastikan setiap pemimpin yang diketengahkan benar-benar bersedia untuk dinilai, bukan sahaja dari segi kemampuan memimpin, malah integriti dan prinsip yang dibawa.
“Kita bukan lagi macam dulu, kita boleh tangkap muat. Sekarang ini penelitian setiap daripada wakil yang mewakili parti, baik UMNO ataupun Barisan Nasional, mereka mesti meletakkan pemimpin-pemimpin yang bersedia untuk diteliti oleh mana-mana rakyat dalam negara.
“Itu sangat penting,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.
Menurut Johari, kehendak rakyat sentiasa berubah mengikut zaman dan BN perlu memahami perubahan itu dengan meninggalkan pendekatan ‘business as usual’.
Katanya, masyarakat hari ini semakin menuntut keterbukaan, tadbir urus yang baik serta pemimpin yang benar-benar komited membangunkan negara tanpa mengamalkan dwistandard.
“Bila kita buat sesuatu benda yang kita merasakan bahawa itu adalah benda yang patut dibuat oleh semua orang, maka semua orang kena ikut cara ataupun prosedur ataupun kehendak.
“Ini merupakan salah satu daripada peringatan kepada semua kita,” katanya.
Dalam pada itu, Johari berkata usaha memperkukuh BN perlu mengambil kira keperluan membina kerjasama lebih erat dalam kalangan parti komponen yang mewakili pelbagai kaum dan lapisan masyarakat.
Menurutnya, kesepakatan itu perlu diperkukuh tanpa mengorbankan identiti, budaya serta ideologi yang menjadi asas kepada setiap parti komponen.
Beliau berkata pendekatan berkenaan penting supaya agenda BN kekal terangkum dan mampu mengambil kira kepelbagaian budaya, agama, bangsa serta cara hidup masyarakat di negara ini.
Mengulas mengenai cadangan Kolaborasi Agung, Johari berkata setakat ini belum terdapat perincian khusus berhubung gagasan berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, sebarang bentuk kerjasama perlu berlandaskan prinsip saling memahami dan menghormati tanpa memaksa mana-mana parti menghilangkan budaya, ideologi atau identiti masing-masing.
The post BN tak boleh lagi ‘tangkap muat’ calon, rakyat kini teliti setiap pemimpin – Johari appeared first on MYBERITA.





