UMNO tak boleh lagi berurusan seperti biasa

LocalPolitics
11 Sep 2026 • 2:57 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: UMNO tak boleh lagi berurusan seperti biasa

KUALA LUMPUR – UMNO tidak boleh lagi beroperasi dengan pendekatan ‘berurusan seperti biasa’ sebaliknya perlu memahami perubahan kehendak serta jangkaan rakyat yang semakin berkembang mengikut peredaran zaman.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, keterbukaan dan tadbir urus kini menjadi antara tuntutan utama rakyat yang perlu diberi perhatian serius oleh parti.

Menurut beliau, rakyat hari ini menilai pemimpin dan parti dari pelbagai aspek, sekali gus memerlukan UMNO menyediakan tawaran yang jelas bagi menentukan kedudukan serta hala tuju parti.

“Penting bagi parti untuk memahami rakyat kerana jangkaan rakyat berubah mengikut zaman.

“Apabila ia berubah mengikut zaman, perkara yang kita tidak pernah terfikir termasuk soal keterbukaan dan tadbir urus kini menjadi satu permintaan oleh rakyat.

“Sekarang kita bukan lagi boleh buat ‘berurusan seperti biasa’ kerana rakyat pada hari ini menilai dari pelbagai aspek,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas Ucapan Dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.

Johari berkata, mana-mana anggota UMNO yang mahu tampil sebagai pemimpin juga perlu memahami bahawa landskap politik serta kehendak rakyat kini telah berubah.

Katanya, pemilihan wakil yang membawa suara UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu mengambil kira kemampuan pemimpin untuk menerima kritikan serta bersikap terbuka terhadap pandangan rakyat.

“Ini termasuk keterbukaan dan kesungguhan sebagai seorang pemimpin untuk membangunkan negara tanpa berat sebelah,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya menyambut baik tawaran jelas yang disampaikan Ahmad Zahid bagi mewakili parti kepada rakyat.

Katanya, tawaran berkenaan bukan sahaja menetapkan kedudukan dan hala tuju UMNO, malah menjadi cadangan parti kepada negara untuk dipertimbangkan rakyat.

“Selain menetapkan kedudukan dan hala tuju UMNO, sekurang-kurangnya ia adalah satu tawaran baik parti ini kepada negara untuk dipertimbangkan.

“Kita sangat jelas mengenai apa yang mahu dilakukan dan kita percaya rakyat akan memberikan pertimbangan yang baik terhadap saranan serta perancangan UMNO selain BN,” katanya.-KOSMO! ONLINE

The post UMNO tak boleh lagi berurusan seperti biasa appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved