ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Johor menafikan dakwaan pembangunan rumah mampu milik di negeri itu bergerak perlahan, sebaliknya menegaskan pelbagai projek perumahan rakyat sedang dilaksanakan dengan sasaran menyediakan 100,000 unit menjelang 2030.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi keutamaan kepada keperluan golongan berpendapatan rendah dan sederhana menerusi pembangunan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) yang ditawarkan pada harga bersubsidi.
"Antara projek terbesar yang sedang dibangunkan ialah Perumahan Iskandar Puteri Bangsa Johor membabitkan lebih 2,000 unit dengan tiga kategori harga iaitu RM150,000, RM250,000 dan RM300,000.
“Rumah RM150,000 misalnya, harga pasaran semasa hampir RM400,000, tetapi kerajaan negeri menawarkan secara subsidi supaya rakyat Johor mampu memiliki kediaman,” katanya ketika meninjau kemajuan projek berkenaan di sini pada Selasa.
**media[3597550]**
Beliau berkata, sejak 2022 hingga suku pertama 2026, sebanyak 12,412 unit RMMJ telah siap dan diserahkan kepada pemilik, manakala lebih 8,000 unit lagi dijangka siap menjelang akhir tahun ini.
“Dalam tempoh lima tahun, kita sasarkan 30,000 unit rumah mampu milik siap sehingga penghujung 2026. Selepas itu, sebanyak 70,000 unit lagi akan dibangunkan dari 2027 hingga 2030 bagi mencapai sasaran 100,000 unit,” katanya.
Pada 5 Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur kelembapan pembangunan rumah mampu milik di Johor dan mengingatkan supaya pembangunan negeri tidak hanya tertumpu kepada golongan berpendapatan tinggi.
Mohd Jafni berkata, pihaknya telah menjemput Perdana Menteri melalui media sosial untuk sama-sama hadir melawat tapak projek pembinaan rumah mampu milik yang sedang dibangunkan di seluruh negeri ini.
ADUN Bukit Permai itu menambah, projek Perumahan Iskandar Puteri Bangsa Johor menunjukkan perkembangan positif apabila Fasa 1 yang membabitkan 951 unit kini mencapai kemajuan 96.34 peratus dan dijangka siap lebih awal pada suku pertama 2027.
“Fasa 2 melibatkan 571 unit kini mencapai 75 peratus kemajuan dan dijangka siap suku ketiga 2027, manakala Fasa 3 membabitkan 1,038 unit dijangka siap pada 2028,” katanya.
Menurutnya, lebih 8,000 permohonan diterima bagi projek berkenaan, dengan lebih 70 peratus pemohon terdiri daripada golongan muda berusia bawah 40 tahun.
“Ini menunjukkan permintaan terhadap rumah mampu milik masih tinggi, khususnya dalam kalangan golongan muda yang mahu menetap dan membina kehidupan di Johor,” katanya.






