
ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri menafikan dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa projek pembinaan rumah mampu milik bagi golongan berpendapatan rendah di Johor berjalan dengan lembap.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor sebaliknya berkata, kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyasarkan pembinaan 100,000 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) menjelang 2030.
Katanya, sejak 2022 sehingga suku pertama tahun ini, sebanyak 12,412 unit RMMJ telah siap dan diserahkan kunci kepada pemilik, manakala lebih 8,000 unit lagi akan siap menjelang akhir tahun ini.
“Antara projek terbesar yang sedang dibangunkan ketika ini adalah Perumahan Iskandar Puteri Bangsa Johor (PIPBJ) melibatkan lebih 2,000 unit dengan tiga kategori harga iaitu RM150,000; RM250,000 dan RM300,000. Usaha ini selari dengan manifesto diumum Onn Hafiz sebelum ini.
“Kawasan ini di dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), iaitu kawasan bandar raya Iskandar Puteri. Ini menunjukkan kita masih ada sediakan rumah ‘landed’ dengan harga subsidi iaitu RM150,000,” katanya selepas melawat lokasi tapak pembinaan PIPBJ, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Jafni, kerajaan negeri komited melaksanakan manifesto dibuat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 lalu iaitu untuk membina sehingga 100,000 unit RMMJ menjelang 2030.
Pada 5 Julai lalu, Perdana Menteri dilaporkan menegur kelembapan kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) dalam membangunkan projek perumahan mampu milik khususnya untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
“Mengapa Johor masih lembab dalam membangunkan rumah untuk rakyat? Sebab itu saya mahu melihat perubahan di negeri Johor. Kita perlu memberi tumpuan kepada golongan di bawah,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Jafni turut memberitahu, pihaknya telah menjemput Perdana Menteri untuk sama-sama hadir melawat tapak projek pembinaan rumah mampu milik yang sedang dibangunkan di seluruh negeri ini.
“Majoriti daripada pembeli kediaman ini adalah golongan muda yang berusia 40 tahun kebawah. Syaratnya adalah mereka mesti merupakan pengundi di Johor. Syarat ini dikenakan supaya mereka dapat turut memberikan mandat kepada kerajaan negeri.
“Mereka juga dapat menikmati apa dasar dan polisi yang telah dilaksana kerajaan negeri selama ini,” katanya.-UTUSAN
The post Exco Johor nafi dakwaan Anwar pembangunan rumah mampu milik Johor lembap appeared first on Utusan Malaysia.






