BN tidak khianat, patutnya Kerajaan Perpaduan Malaysia bukan Kerajaan Madani – Asyraf Wajdi

LocalPolitics
12 Sep 2026 • 2:50 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: BN tidak khianat, patutnya Kerajaan Perpaduan Malaysia bukan Kerajaan Madani – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR – UMNO menegaskan kerajaan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ialah Kerajaan Perpaduan Malaysia, bukannya kerajaan yang berteraskan satu parti atau hanya dilabel sebagai Kerajaan Madani.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu jelas termaktub dalam Perjanjian Pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia yang dipersetujui parti-parti terlibat.

Menurut beliau, penggunaan gagasan Madani tidak menjadi masalah, namun nama dan asas pembentukan kerajaan perlu terus dirujuk berdasarkan perjanjian yang dipersetujui.

“Perkara pertama disebutkan bahawa kerajaan yang ditubuhkan ini mestilah dinamakan dengan Kerajaan Perpaduan Malaysia, dan kerajaan itu bukan kerajaan satu parti. Kerajaan itu peringkat awal adalah dua parti, BN (Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.

“Apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah, sebuah perjanjian yang melibatkan 18 parti dimaktubkan dan perjanjian itu dinamakan perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia.

“Maknanya kerajaan ini bukan kerajaan satu parti,”katanya pada sidang akhbar di Lamam Media di sini hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, Perdana Menteri mesti sentiasa merujuk kepada semua parti-parti yang membentuk kerajaan ini.

“Apabila kerajaan itu adalah Kerajaan Perpaduan, ia merupakan kerajaan yang bersatu. Kemudian konsultasi mesti dilakukan kepada semua ahli-ahli parti tersebut.

“Jadi, UMNO mahu inti pati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia terus dihormati bagi memastikan kestabilan politik negara terpelihara,” katanya.

Ini kerana tambah beliau banyak ‘perkara’ dalam inti pati tersebut kini semakin ‘longgar’ sehingga BN didakwa telah melakukan pengkhianatan.

“Sedangkan kita tidak pernah mengkhianati sesiapa. Bila bubar saja Dewan Undangan Negeri atau Parlimen, maksudnya terserah kepada parti-parti untuk menentukan hala tuju masing-masing.

“Di Sabah dan Sarawak pun mereka mempunyai hak untuk memilih rakan siapa yang mereka akan lakukan kerjasama,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE

The post BN tidak khianat, patutnya Kerajaan Perpaduan Malaysia bukan Kerajaan Madani – Asyraf Wajdi appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved