amree03/11/2026 - 10:55 Gambar hiasan - Foto BERNAMA Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 3 Nov — Seruan boikot produk berasaskan sawit susulan isu jerebu rentas sempadan bukan sahaja tidak menyelesaikan punca pencemaran, malah berisiko menjejaskan kehidupan lebih 242,000 keluarga pekebun kecil di seluruh negara, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Jelas agensi berkenaan, tindakan menyamaratakan keseluruhan industri sawit sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap masalah jerebu boleh membebankan pengusaha, pekerja dan pekebun kecil yang masih mematuhi peraturan serta bergantung kepada sektor itu sebagai sumber pendapatan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Badrul Hisham Mohd menerusi kenyataan berkata, kebimbangan terhadap alam sekitar memang wajar dihargai, namun seruan awam turut perlu berlandaskan kepada fakta dan bukti.
"Jerebu rentas sempadan merupakan isu pencemaran udara yang kompleks dan memerlukan tindakan bersepadu, termasuk pengesanan punca kebakaran, penguatkuasaan undang-undang, kerjasama serantau serta tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab," tegasnya.
Beliau menyatakan demikian sebagai merujuk seruan boikot produk berasaskan sawit oleh selebriti tempatan, Sharifah Sakinah, yang tular melalui platform media sosial sebagai tindak balas terhadap isu jerebu.
Di Malaysia ujar Badrul Hisham, pembakaran terbuka dilarang di bawah Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. MPOB menegaskan mana-mana pihak yang melakukan, membenarkan atau menyebabkan pembakaran terbuka perlu bertanggungjawab dan tertakluk tindakan undang-undang tanpa pengecualian.

Tambahnya, lebih 242,000 keluarga pekebun kecil sawit persendirian mengusahakan kawasan tanaman melebihi 866,000 hektar di seluruh negara. Golongan itu antara yang paling terdedah kepada perubahan harga, kos pengeluaran dan permintaan pasaran.
"Sebarang kempen yang menjejaskan permintaan produk sawit berpotensi memberi kesan kepada keseluruhan rantaian nilai, termasuk pendapatan pekebun kecil, aktiviti pengumpulan dan pemprosesan tandan buah segar, operasi kilang serta peluang pekerjaan berkaitan," katanya.
Pada 2025, nilai eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit Malaysia mencecah RM112 bilion, naik 2.9%. Ujar Badrul Hisham, di sebalik prestasi eksport itu, terdapat ratusan ribu keluarga yang bergantung kepada hasil sawit bagi membiayai kehidupan dan pendidikan anak-anak.
Dalam pada itu, MPOB menegaskan industri sawit negara tertakluk kepada kerangka perundangan, kawal selia dan pensijilan, termasuk pelaksanaan mandatori Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO). Piawaian MSPO 2.0 berkuat kuasa 1 Januari 2025 memperkukuh keperluan pematuhan undang-undang, pengurusan alam sekitar, kebajikan pekerja dan kebolehkesanan.
Malaysia turut menerima pengiktirafan Kesatuan Eropah (EU) pada September 2025 terhadap MSPO sebagai piawaian kemampanan yang diyakini dan inklusif, selain ada sistem kebolehkesanan digital yang dapat menyokong pematuhan pengusaha kepada Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR).
"MPOB menjelaskan pengiktirafan tersebut mencerminkan usaha serius Malaysia dalam memperkukuh tadbir urus dan ketelusan rantaian bekalan, bukannya pengecualian daripada keperluan undang-undang EU," tegas Badrul Hisham.
Sehubungan itu, MPOB menggesa selebriti, dan pemimpin masyarakat menggunakan pengaruh menyampaikan maklumat tepat serta menggalakkan tindakan yang menyasarkan punca pencemaran. MPOB menegaskan perlindungan alam sekitar dan sokongan terhadap industri sawit mampan bukan dua perkara yang bercanggah, sebaliknya memerlukan komitmen, pemantauan serta penambahbaikan berterusan. - DagangNews.com






