RM300 juta diperuntuk bantu pekebun kecil tanam semula sawit pada 2027 - Noraini

LocalBusiness & Finance
30 Oct 2026 • 3:46 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

RM300 juta diperuntuk bantu pekebun kecil tanam semula sawit pada 2027 - Noraini Image from: RM300 juta diperuntuk bantu pekebun kecil tanam semula sawit pada 2027 - Noraini liza30/10/2026 - 15:46 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 30 Okt – Sebanyak RM300 juta diperuntukkan bagi membantu pekebun kecil memperbaharui kebun sawit menerusi dua program penanaman semula di bawah Belanjawan 2027, ketika kerajaan meningkatkan usaha memperbaiki produktiviti dan daya saing industri agrikomoditi negara.

 

Peruntukan itu merangkumi RM100 juta bagi Skim Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) 2.0 dan RM200 juta untuk Program Tanam Semula Sawit (PTSS).

 

Kedua-dua inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada RM470 juta yang disediakan untuk lima inisiatif utama sektor agrikomoditi, daripada keseluruhan peruntukan RM818.03 juta kepada Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).

 

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata kesejahteraan pekebun kecil dan peningkatan daya saing industri agrikomoditi terus menjadi keutamaan kementerian menerusi pelaksanaan inisiatif strategik berkenaan.

 

Skim pembiayaan tawar 50% geran

“Menerusi TSPKS 2.0, kerajaan menyediakan struktur pembiayaan dengan 50% dalam bentuk geran dan baki 50% melalui pembiayaan bagi membantu pekebun kecil melaksanakan penanaman semula sawit.

 

“Sementara itu, peruntukan RM200 juta bagi PTSS memberi tumpuan kepada pembaharuan kebun sawit tua menerusi penanaman semula, sekali gus menyokong usaha meningkatkan produktiviti tanaman.

 

“Gabungan kedua-dua program itu menjadikan penanaman semula sawit antara tumpuan utama dalam peruntukan Belanjawan 2027 bagi sektor agrikomoditi,” katanya dalam ucapan penggulungan di Dewan Rakyat.

 

Mekanisasi, automasi jadi tumpuan

Selain bantuan penanaman semula, KPK turut memberi penekanan kepada peningkatan produktiviti melalui penggunaan mekanisasi dan automasi dalam sektor agrikomoditi.

 

Pembangunan tenaga kerja berkemahiran serta penerokaan teknologi baharu turut menjadi antara fokus kementerian bagi meningkatkan kecekapan operasi dan daya saing industri.

 

Beliau berkata KPK komited memastikan pelaksanaan semua inisiatif berkenaan bukan sahaja menyokong pertumbuhan sektor agrikomoditi negara, malah memberi manfaat kepada pekebun kecil melalui peningkatan produktiviti dan kesejahteraan mereka. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved