liza29/10/2026 - 12:43 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Okt – Bonia Corporation Berhad menutup 47 lokasi jualan sepanjang tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 (FY2026) iaitu 10 butik dan 37 kaunter jualan di pusat beli-belah ketika industri fesyen berdepan peningkatan kos operasi dan persaingan sengit.
Dalam laporan tahunan FY2026, kumpulan itu berkata langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha menyusun semula rangkaian peruncitannya bagi meningkatkan produktiviti kedai dan menambah baik pengalaman membeli-belah pelanggan.
Sepanjang tempoh itu juga, Bonia membuka tujuh butik dan 21 kaunter jualan di pusat beli-belah baharu. Pada akhir FY2026, kumpulan itu mempunyai 111 butik berbanding 114 pada tahun sebelumnya, manakala bilangan kaunter jualan di pusat beli-belah berkurang kepada 211 daripada 227.
Bonia berkata industri peruncitan fesyen terus berdepan perubahan pilihan pengguna, kepekaan lebih tinggi terhadap harga serta peningkatan kos operasi, termasuk sewa, gaji pekerja, utiliti dan logistik.
“Pengguna juga semakin berhati-hati dalam perbelanjaan bukan keperluan, dengan keputusan pembelian dipengaruhi nilai produk, kesesuaian jenama dan aktiviti promosi. Keadaan itu boleh memberi tekanan kepada jualan, margin keuntungan dan pengurusan inventori.
“Selain itu, peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang merangkumi perkhidmatan sewaan runcit dan perkhidmatan berkaitan turut menambah tekanan kos sepanjang rantaian peruncitan,” kata Bonia.
Peningkatan kos
Kumpulan itu turut berdepan kesan gangguan trafik maritim susulan konflik di Timur Tengah yang meningkatkan kos pengangkutan, premium insurans marin dan surcaj berkaitan bahan api, sekali gus memberi kesan kepada kos produk dan keuntungan.
Persaingan daripada platform digital asing yang menawarkan barangan pada harga rendah turut memberi tekanan harga kepada peruncit tempatan.
Bonia berkata kumpulan itu perlu terus menyesuaikan format kedai, keupayaan digital, strategi mendekati pelanggan dan perancangan inventori bagi mengekalkan daya saing.

Untung selepas cukai meningkat 37.2%
Bagi FY2026, hasil kumpulan meningkat 4.9% kepada RM395.81 juta daripada RM377.33 juta pada tahun sebelumnya, terutamanya disokong penyatuan perniagaan makanan dan minuman selepas pengambilalihan kepentingan kawalan dalam perniagaan berkenaan.
Keuntungan sebelum cukai meningkat 16.7% kepada RM20.05 juta berbanding RM17.19 juta, manakala keuntungan selepas cukai meningkat 37.2% kepada RM10.68 juta daripada RM7.78 juta pada FY2025.
Bagaimanapun, keuntungan kasar hanya meningkat 2.5% kepada RM229.1 juta, sementara margin keuntungan kasar menyusut kepada 57.9% daripada 59.2% sebelumnya.
Bonia berkata penurunan margin itu terutama mencerminkan aktiviti pelepasan stok melalui pemberian diskaun bagi menjual inventori sedia ada.
Perniagaan peruncitan kekal sebagai penyumbang utama hasil kumpulan, merangkumi 93% daripada hasil FY2026. Namun, hasil runcit berkurang 0.8% kepada RM369 juta daripada RM372 juta pada FY2025.
Jualan digital semakin penting
Dari segi pasaran, Malaysia kekal sebagai penyumbang terbesar hasil runcit Bonia dengan sumbangan 70% pada FY2026, meningkat daripada 66% pada tahun sebelumnya. Singapura menyumbang 24%, Indonesia 4% dan pasaran lain sebanyak 2%.
Bonia berkata peningkatan sumbangan Malaysia sebahagian besarnya disokong pengembangan jenama yang baru diedarkan serta pelaksanaan perdagangan sosial menerusi TikTok LIVE sepanjang tahun kewangan berkenaan.
Sumbangan perdagangan berbilang saluran (omnichannel), yang merangkumi e-dagang dan perdagangan sosial, meningkat kepada 9.8% daripada 6.3% pada FY2025. Butik fizikal kekal sebagai penyumbang terbesar hasil runcit pada 53.3%, manakala peningkatan saluran digital mencerminkan usaha kumpulan menggabungkan pengalaman membeli-belah fizikal dan dalam talian.
Bagi tempoh seterusnya, Bonia akan terus menumpukan perhatian kepada produktiviti kedai, pengurusan inventori, kawalan kos operasi dan kecekapan rantaian bekalan.
Kumpulan itu juga akan memperluas keupayaan digital serta meneroka kerjasama jenama dan pelaburan terpilih, meskipun persekitaran operasi dijangka kekal mencabar berikutan ketidaktentuan ekonomi, tekanan kos dan sentimen pengguna yang berhati-hati. - DagangNews.com






