sarah19/10/2026 - 14:10 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Okt - Borneo Digital Capital Fund PLT (Borneo Digital Capital) melancarkan dana pelaburan swasta bernilai RM100 juta bagi membiayai pembangunan infrastruktur digital, bandar pintar dan teknologi kecerdasan buatan (AI) di Sarawak, sekali gus membantu syarikat teknologi melaksanakan projek tanpa perlu menanggung keseluruhan kos permulaan.
Borneo Digital Capital berkata, dana itu memberi tumpuan kepada tiga teras pelaburan utama, iaitu infrastruktur digital, penyelesaian bandar pintar dan AI, serta platform pendigitalan bagi sektor tenaga boleh baharu, sistem utiliti dan mobiliti elektrik (eMobility).
Menerusi platform pembiayaan berkenaan, syarikat teknologi dan pemilik projek yang layak boleh mendapatkan pembiayaan bagi melaksanakan penyelesaian digital melalui model langganan komersial, kontrak perkhidmatan serta perkongsian hasil.
Strategi pelaburan dana itu turut mengutamakan projek yang mempunyai aliran tunai kontrak yang stabil serta potensi peningkatan nilai modal jangka panjang. Menurut syarikat itu, semua projek sasaran mempunyai aliran tunai berkontrak yang disokong oleh Kerajaan Sarawak.
Buka peluang pelaksanaan projek teknologi
Rakan Kongsi Umum Borneo Digital Capital Fund, Melvin Ong berkata, kekangan pembiayaan awal sering menjadi halangan kepada pelaksanaan projek teknologi walaupun penyelesaian yang dicadangkan mempunyai potensi komersial.
“Apabila pelanggan memerlukan teknologi tetapi tidak mampu menanggung keseluruhan kos permulaan, idea yang baik akan kekal sebagai idea. Melalui Borneo Digital Fund, kami kini dapat menggabungkan kepakaran teknologi dan pembiayaan supaya lebih banyak projek berdaya maju dapat direalisasikan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, Sarawak semakin muncul sebagai destinasi strategik bagi pelaburan infrastruktur digital dan tenaga boleh baharu, didorong kekayaan sumber serta potensi pembangunan negeri itu.
Pada majlis pelancaran yang disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Sarawak, Timothy Ong Wye Ern, Borneo Digital Capital turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Borneo Development Capital I PLT bagi meneroka peluang pembiayaan bersama untuk projek reka bentuk dan pembinaan siap guna yang memenuhi syarat.
Dana yang dilancarkan Jumaat lalu itu, akan diuruskan Aureus Strategies PE Sdn Bhd, sebuah syarikat ekuiti persendirian berlesen, dengan tumpuan kepada pelaburan dalam aset digital strategik yang menyokong transformasi ekonomi jangka panjang negeri berkenaan.
Pelancaran dana tersebut turut menyokong aspirasi Sarawak untuk mencapai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM282 bilion menjelang 2030, dengan sasaran pertumbuhan ekonomi tahunan sebanyak 8%.
Dana berstruktur ekuiti persendirian tertutup itu ditawarkan kepada pelabur sofistikated dengan pelaburan minimum RM250,000, selaras dengan matlamatnya menarik modal bagi memperluas ekosistem digital Sarawak.- DagangNews.com






