
KLANG – “Kalau ditemui masih hidup, syukur…kalau sebaliknya, kami reda.”
Itu luahan berat abang kepada Mohd. Shahril Abd. Rahman, 43, yang masih hilang sejak bot dinaiki tujuh pemancing termasuk tekong dipercayai karam dipukul ombak di perairan One Fathom Bank, Ahad lalu.
Hairul Nizam Abdul Rahman, 47, berkata keluarganya kini hanya mampu berdoa agar jasad adiknya ditemukan, selepas pencarian memasuki hari ketiga.
“Kalau dijumpai masih hidup, syukur sangat-sangat. Tapi kalau dijumpai dalam keadaan sebaliknya, kami terima dengan hati terbuka. Semua adalah ketentuan Ilahi. Kami mampu berharap, tetapi Allah menentukan segala-galanya. Apa pun, kami harap Mohd. Shahril ditemukan,” katanya ketika ditemui di Pos Pangkalan Hadapan Jeti Sementa, di sini hari ini.
Lebih meruntun perasaan keluarga apabila Hairul Nizam turut menerima makluman polis mengenai penemuan satu mayat dipercayai seorang daripada mangsa di perairan Bagan Sungai Belukang, Bagan Datuk, Perak, pagi ini.
Bagaimanapun, identiti mayat berkenaan masih belum disahkan dan keluarga kini menunggu perkembangan lanjut daripada pihak berkuasa.
Katanya, Mohd. Shahril turut memaklumkan kepada keluarga mengenai rancangan keluar memancing di One Fathom Bank bersama enam lagi pemancing pada Ahad lalu.
Selain Mohd. Shahril, dua lagi yang belum ditemui adalah Muhammad Ridzuan Ruhaizat, 37, dan Raja Mohd. Rozi Raja Mohamad, 49. – KOSMO! ONLINE
The post Bot karam: Asalkan jasad Shahril ditemukan – Abang appeared first on Kosmo Online.






