Punca tujuh pemancing hilang belum terjawab

15 Sep 2026 • 3:24 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Punca tujuh pemancing hilang belum terjawab

KLANG – Punca kehilangan tujuh pemancing termasuk tekong yang hilang di perairan One Fathom Bank masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, empat daripada tujuh pemancing itu berjaya ditemui bot nelayan tempatan dalam keadaan terapung di perairan Sekinchan pada pukul 9.50 pagi.

Katanya, kesemua mangsa berada dalam keadaan lemah dengan jarak ditemui adalah 40.2 kilometer dari pantai Sungai Besar.

“Setakat tengah hari ini, empat mangsa berjaya ditemui di perairan Sekinchan, namun punca kejadian masih disiasat.

“Dua daripada mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, manakala dua lagi dibawa ke Hospital Banting bagi menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, operasi mencari tiga lagi mangsa hilang masih diteruskan, namun situasi jerebu mengehadkan jarak penglihatan seterusnya menyukarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Katanya, operasi hari kedua itu menggunakan aset laut dan udara Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan dua bot nelayan.

“Sektor pencarian laut diperluaskan kepada 203.5 batu nautika persegi, manakala udara meliputi kawasan seluas 764 batu nautika persegi,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan identiti empat mangsa yang selamat dikenal pasti sebagai Mohd. Shairazi Abdul Aziz, 43, Mohd. Rizal Mohamad Sadali, 45, iparnya, Muhd. Hamiszar Punirain, 45, dan tekong bot, Zulfikalnain Awang, 47.

Tiga lagi yang masih hilang ialah Muhamad Ridzuan Ruhaizat, 37, Mohd. Shahril Abd Rahman, 43, dan Raja Mohd. Rozi Raja Mohamad, 49.

Kesemua pemancing bertolak pada pukul 8.20 pagi kelmarin dan sepatutnya tiba di jeti Sementa, Kapar selewat-lewatnya pukul 8.30 malam hari sama.

Mereka dipercayai keluar memancing cencaru berikutan musim ikan itu ketika ini sebelum bot dinaiki terbalik akibat dipukul ombak setinggi empat meter. – KOSMO! ONLINE

The post Punca tujuh pemancing hilang belum terjawab appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved