
KLANG – Empat daripada tujuh pemancing yang ditemukan selamat selepas bot mereka terbalik dipukul ombak setinggi empat meter di perairan One Fathom Bank berhampiran Pulau Ketam, hari ini dikenal pasti.
Mereka ialah Mohd. Shairazi Abdul Aziz, 43; Mohd. Rizal Mohamad Sadali, 45; iparnya, Muhd. Hamiszar Punirain, 45, serta tekong bot, Zulfikalnain Awang, 47, berdasarkan laporan diterima pihak keluarga daripada pihak berkuasa.
Kesemua mereka ditemukan kira-kira pukul 10 pagi di perairan Tanjong Karang, kira-kira sejam dari lokasi mereka dilaporkan hilang di perairan One Fathom Bank berhampiran Pulau Ketam.
Penemuan itu sekali gus menamatkan penantian mendebarkan keluarga yang menunggu khabar selepas tujuh individu berkenaan gagal dikesan sejak keluar memancing ikan cencaru dua hari lalu.
Keempat-empat mangsa akan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut susulan keadaan mereka yang lemah.
Difahamkan, bot berkeluasan 22.6 meter persegi itu terbalik selepas dilambung ombak setinggi empat meter ketika mereka berada di laut.
Bagi Faridah Awang, 52, berita adiknya, Zulfikalnain ditemukan selamat menjadi detik paling melegakan selepas keluarganya dihantui kebimbangan sejak dua hari lalu.
Katanya, kehilangan adiknya hanya diketahui kira-kira pukul 10 pagi selepas dia menerima makluman daripada isteri Zulfikalnain.
“Saya difahamkan dia keluar membawa trip memancing ikan cencaru hingga sempadan Indonesia. Saya pada mulanya ingat hanyut biasa.
“Hari ini dimaklumkan bot terbalik. Namun, Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah. Syukur ditemui selamat,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Pusat Pangkalan Hadapan Jeti Sementa di sini, hari ini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Noor Najhan Mohamad Salleh berkata, berdasarkan maklumat diterima, kesemua pemancing berkenaan keluar mencari ikan cencaru berikutan musim ikan tersebut ketika ini.
Katanya, punca sebenar bot itu terbalik masih belum diketahui dan pihak berkuasa sedang mendapatkan maklumat lanjut termasuk kemungkinan berlaku kerosakan enjin atau kehabisan minyak.
“Bagaimanapun, keadaan laut ketika kejadian agak mencabar dengan ombak setinggi empat meter.
“Pihak berkuasa turut berhubung dengan pihak Indonesia bagi mendapatkan maklumat sama ada terdapat nelayan atau pemancing yang ditemukan di kawasan berkenaan, namun dimaklumkan tiada.
“Operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan semalam belum menemukan mereka, tetapi hari ini empat daripada tujuh yang hilang berjaya ditemukan,” katanya.
Jelasnya, beliau dimaklumkan oleh pihak berkuasa bahawa operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan bagi mengesan tiga lagi mangsa yang masih belum ditemukan..
Tiga lagi yang masih hilang adalah Muhamad Ridzuan Ruhaizat, 37, Mohd. Shahril Abd Rahman, 43 dan Raja Mohd. Rozi Raja Mohamad,49.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan empat daripada tujuh pemancing termasuk tekong yang dilaporkan hilang telah berjaya ditemui di perairan Tanjong Karang.
Keempat-empat yang belum diketahui identiti tersebut dipercayai diselamatkan nelayan bot pukat tunda yang melalui kawasan tersebut. – KOSMO! ONLINE
The post Identiti empat pemancing hilang ditemui selamat dikenal pasti appeared first on Kosmo Online.






