Brazil berpotensi jadi pemacu pertumbuhan eksport Pantech Global, menurut RHB Research

Business & Finance
2 Nov 2026 • 11:44 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Brazil berpotensi jadi pemacu pertumbuhan eksport Pantech Global, menurut RHB Research Image from: Brazil berpotensi jadi pemacu pertumbuhan eksport Pantech Global, menurut RHB Research hamden02/11/2026 - 11:44 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 2 Nov - Brazil berpotensi menjadi pemacu pertumbuhan eksport tambahan kepada Pantech Global Bhd apabila pengeluar kelengkapan paip keluli itu dijangka meningkatkan penembusan pasaran di negara Amerika Selatan berkenaan, sekali gus menaikkan sumbangan hasilnya kepada lebih 10% daripada kira-kira 7% ketika ini.

 

Menurut RHB Research, potensi pertumbuhan itu disokong kelebihan daya saing yang dinikmati anak syarikat utama Pantech Global, Pantech Stainless & Alloy Industries (PSA), menerusi kadar duti anti-lambakan khusus syarikat yang jauh lebih rendah berbanding pengeksport Malaysia lain dan kebanyakan pengeksport China.

 

PSA dikenakan duti anti-lambakan sebanyak AS$239.99 setan, berbanding AS$740.02 setan bagi pengeksport Malaysia lain dan AS$1,340.52 setan yang dikenakan terhadap kebanyakan pengeksport China.

 

"Perbezaan kadar tarif berkenaan memberikan kelebihan daya saing berstruktur kepada PSA untuk memperoleh pesanan tambahan di Brazil, sekali gus menyokong pertumbuhan hasil dan mempelbagaikan lagi pasaran geografi kumpulan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Peningkatan permintaan pusat Data

Selain potensi eksport dari Brazil, prospek Pantech Global turut disokong peningkatan permintaan daripada sektor pusat data (DC), khususnya susulan pelaburan dalam infrastruktur kecerdasan buatan (AI) yang meningkatkan keperluan terhadap sistem penyejukan dan rangkaian perpaipan.

 

Jualan berkaitan pusat data ketika ini menyumbang kira-kira 12% daripada jumlah hasil kumpulan dan dijangka meningkat kepada sekitar 30%, sekali gus menjadi pemacu tambahan kepada pertumbuhan pendapatan syarikat.

 

Unjuran itu mengambil kira peningkatan saluran projek berkaitan pusat data serta maklum balas pengedar Pantech Global yang menunjukkan permintaan lebih kukuh daripada segmen berkenaan.

 

Pantech Global turut mendapat manfaat daripada kepelbagaian pendedahan pasaran akhir merangkumi sektor minyak dan gas, petrokimia, rawatan air, semikonduktor serta pelbagai aplikasi perindustrian lain, sekali gus mengurangkan kebergantungan kumpulan terhadap mana-mana satu industri.

 

Dari sudut operasi, keupayaan syarikat mengekalkan harga jualan purata (ASP) turut menyokong prospek pengembangan margin keuntungan.

 

Pihak pengurusan memaklumkan ASP produk keluli tahan karat dan keluli karbon masing-masing meningkat 25% dan 15% antara November 2025 hingga Jun 2026, selain kekal kukuh walaupun harga nikel susut kira-kira 20% daripada paras kemuncaknya pada AS$19,500 setan pada Mei 2026.

 

Firma penyelidikan itu berpandangan, kestabilan ASP ketika kos input semakin reda berpotensi menyokong pengembangan margin keuntungan kumpulan.

 

Secara keseluruhan, keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti teras (PATAMI) Pantech Global diunjurkan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 24.5% sepanjang tahun kewangan 2026 hingga 2029, berakhir Januari.

 

Kumpulan itu turut dijangka menawarkan hasil dividen antara 7% hingga 8.1% bagi tahun kewangan 2027 hingga 2029. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved