Bukit Kerayong, Klang berpotensi jadi kampus pusat data gergasi YTL Power, menurut MBSB Research

LocalBusiness & Finance
30 Oct 2026 • 9:19 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Bukit Kerayong, Klang berpotensi jadi kampus pusat data gergasi YTL Power, menurut MBSB Research Image from: Bukit Kerayong, Klang berpotensi jadi kampus pusat data gergasi YTL Power, menurut MBSB Research hamden30/10/2026 - 09:19 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 30 Okt - MBSB Research tidak menolak kemungkinan YTL Power International Bhd (YTL Power) akan membangunkan kampus pusat data berskala gigawatt (GW) di Bukit Kerayong, Klang, meskipun maklumat awal menunjukkan kumpulan berkenaan hanya bercadang membangunkan taman perindustrian bersepadu di tanah yang baru dibelinya.

 

Firma penyelidikan itu dalam nota penyelidikannya berkata, secara teorinya keluasan tanah berkenaan mampu menampung kapasiti pusat data sehingga 4GW dan berpotensi mengatasi skala Taman Pusat Data Hijau YTL di Kulai, Johor.

 

Potensi itu dikenal pasti susulan usaha sama YTL Power menerusi Bukit Kerayong Industrial Venture Sdn Bhd dengan SD Guthrie Bhd (SD Guthrie) dan Bumi Assets Sdn Bhd menubuhkan Bukit Kerayong Industrial Developments Sdn Bhd (BKID) untuk membangunkan tanah pegangan bebas seluas 657.09 hektar (1,623 ekar) yang ketika ini digunakan sebagai ladang kelapa sawit di Estet Bukit Kerayong.

 

"Dengan andaian kira-kira 500 ekar diperuntukkan untuk pembangunan pusat data, Bukit Kerayong secara teorinya berupaya menampung kapasiti sehingga 4GW, berdasarkan kepadatan pembangunan kira-kira 8MW bagi setiap ekar.

 

"Anggaran itu secara umumnya setanding dengan potensi pembangunan kampus baharu YTL Power di Sedenak Tech Park West (STeP West), yang mempunyai kawasan awal seluas 145 ekar dan berpotensi menyokong kapasiti sehingga 1.2GW," kata firma itu.

 

Bagaimanapun, MBSB Research mengakui unjuran itu merupakan senario pembangunan yang agresif berbanding kampus Kulai milik kumpulan seluas 1,640 ekar, dengan 275 ekar diperuntukkan bagi pusat data berkapasiti 1.2GW, manakala baki kawasan dirancang untuk pembangunan solar.

 

SD Guthrie jual lagi tanah

Dalam perkembangan berkaitan, BKID akan memperoleh tanah berkenaan daripada SD Guthrie pada harga RM933.6 juta, bersamaan kira-kira RM13.20 sekaki persegi.

 

Tanah itu dibahagikan kepada tiga lot masing-masing berkeluasan 252.67 hektar, 211.92 hektar dan 192.50 hektar.

 

Harga pembelian berkenaan mencerminkan premium sederhana sebanyak 5% berbanding penilaian bebas RM889 juta.

 

Bagaimanapun, MBSB Research menyifatkan harga itu menarik memandangkan pelupusan tanah seluas kira-kira 1,022 ekar di Estet Bukit Kerayong oleh SD Guthrie kepada usaha samanya dengan Sime Darby Property Bhd pada Julai 2026 dibuat pada harga RM17.93 sekaki persegi.

 

Struktur pegangan saham BKID terdiri daripada Bukit Kerayong Industrial Venture Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh YTL Power, sebanyak 35%, Bumi Assets Sdn Bhd (35%) dan SD Guthrie Land Ventures Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh SD Guthrie, sebanyak 30%.

 

Selain pembangunan pusat data, kira-kira 1,123 ekar tanah dijangka masih tersedia sekiranya 500 ekar diperuntukkan untuk pembangunan berkenaan.

 

Ruang bina loji tenaga boleh baharu terbuka luas

Kawasan selebihnya itu berpotensi digunakan bagi penjanaan tenaga di tapak, kemudahan tenaga boleh baharu serta infrastruktur sokongan.

 

Perkara itu dilihat relevan susulan keputusan kerajaan yang mewajibkan pengendali pusat data mendapatkan sekurang-kurangnya 30% bekalan elektrik daripada sumber tenaga boleh baharu, selain peningkatan penekanan terhadap penjanaan tenaga sendiri bagi mengurangkan kebergantungan kepada grid nasional.

 

Secara keseluruhan, penganalisis menganggarkan potensi kapasiti pusat data YTL Power di tiga lokasi utama boleh mencecah kira-kira 9.7GW.

 

Anggaran itu merangkumi kapasiti berpotensi 1.2GW masing-masing di Kulai dan STeP West, tambahan 3.3GW menerusi opsyen pengambilalihan 400 ekar tanah di STeP West serta potensi 4GW di Bukit Kerayong.

 

Angka berkenaan turut mengambil kira rancangan meningkatkan kapasiti pusat data di Kulai daripada 600MW kepada 1.2GW.

 

MBSB Research sebelum ini mengunjurkan portfolio pusat data YTL Power berpotensi berkembang kepada sekitar 3GW hingga 4GW, berbanding kapasiti utama semasa sebanyak 2.4GW yang merangkumi masing-masing 1.2GW di Kulai dan STeP West.

 

Saranan BELI dikekalkan

Mengenai penilaian saham, MBSB Research mengekalkan saranan BELI terhadap YTL Power dengan harga sasaran tidak berubah pada RM5.98, bersamaan nisbah harga kepada pendapatan (PER) FY28F sebanyak 22.1 kali.

 

Pada harga saham semasa, YTL Power didagangkan pada PER FY28F sebanyak 19.6 kali, yang menurut penganalisis masih menawarkan peluang kemasukan pelaburan menarik.

 

MBSB Research turut mengekalkan unjuran pendapatan dan harga sasaran berasaskan kaedah jumlah bahagian (SOTP) pada RM5.98 sementara menunggu penjelasan lanjut mengenai cadangan pembangunan Bukit Kerayong.

 

Mereka kekal positif terhadap prospek pertumbuhan jangka panjang kumpulan itu, disokong peningkatan operasi pusat data secara berperingkat di Kulai, pengembangan ke STeP West serta peluang dalam sektor tenaga dan infrastruktur digital. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved