hamden30/10/2026 - 10:05 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Okt - Kenaikan gaji minimum dijangka memberi tekanan kepada margin keuntungan Texchem Resources Bhd, khususnya segmen restoran, menjelang separuh kedua 2027 (2H27), susulan persekitaran kos operasi yang kekal tinggi.
RHB Research berpandangan, walaupun kumpulan itu menunjukkan prestasi keuntungan lebih kukuh bagi sembilan bulan pertama 2026 (9M26), tekanan kos berikutan kenaikan gaji minimum berpotensi menjejaskan margin segmen restoran dalam tempoh akan datang.
"Bagaimanapun, prospek pertumbuhan bahagian kejuruteraan polimer (PE) dijangka kekal positif, disokong permintaan kukuh daripada sektor semikonduktor dan elektrik serta elektronik (E&E), selain pelaburan berterusan dalam teknologi dan peningkatan kapasiti," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Firma penyelidikan itu menambah, bagi menangani cabaran operasi, segmen restoran akan meneruskan aktiviti promosi secara agresif bagi merangsang jualan, selain memberi tumpuan lebih besar kepada penggunaan model kiosk untuk meningkatkan kecekapan dan melaksanakan rasionalisasi cawangan.
Sementara itu, bahagian perindustrian akan terus memberi tumpuan kepada portfolio produk bermargin lebih tinggi, meskipun berdepan aliran pesanan tidak menentu dan persaingan serantau.
Bahagian makanan pula menyasarkan pemulihan prestasi secara berterusan menerusi asas kos lebih rendah selepas menghentikan operasi yang tidak mencatatkan prestasi baik.
Prestasi kewangan
Dari segi prestasi kewangan, keuntungan teras selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) Texchem bagi 9M26 meningkat 100.7% kepada RM15.6 juta, mengatasi anggaran penganalisis apabila mencapai 94% daripada unjuran keuntungan setahun penuh.
Peningkatan itu disokong margin lebih kukuh daripada segmen perindustrian dan PE, dengan hasil kumpulan meningkat 5.5% kepada RM888.7 juta berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Margin EBITDA kekal stabil pada 8.8%, manakala margin bersih bertambah baik berikutan perbelanjaan susut nilai, faedah dan cukai yang lebih rendah.
Prestasi bahagian PE menjadi penyumbang utama apabila keuntungan sebelum cukai (PBT) bagi suku ketiga 2026 (3Q26) meningkat 56% tahun ke tahun dan 26% suku ke suku kepada RM20.1 juta, didorong permintaan memberangsangkan daripada pelanggan sektor semikonduktor dan memori.
Bahagian perindustrian turut mencatat peningkatan PBT sebanyak 21% tahun ke tahun pada 3Q26, disokong margin lebih baik, meskipun merosot 59% berbanding suku sebelumnya susulan permintaan lebih perlahan.
Sebaliknya, segmen restoran mencatatkan kerugian sebelum cukai (LBT) sebanyak RM500,000 pada 3Q26 berbanding keuntungan sebelum cukai RM2.1 juta pada 3Q25, susulan hasil yang lebih lemah.
Bahagian makanan juga kembali mencatatkan kerugian berbanding suku sebelumnya walaupun hasil meningkat, terutamanya akibat pergerakan kadar pertukaran asing yang tidak menguntungkan.
Unjuran keuntungan dinaikkan
Dalam perkembangan berkaitan, penganalisis menaikkan unjuran keuntungan FY26 sebanyak 14.4%, namun mengekalkan unjuran FY27 hingga FY28 bagi mengambil kira potensi tekanan kos susulan kenaikan gaji minimum.
Harga sasaran saham Texchem turut dinaikkan kepada RM1.58 daripada RM1.39 sebelum ini, berdasarkan kaedah jumlah bahagian (SOP), dengan saranan BELI dikekalkan.
Harga sasaran baharu itu mencerminkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sebanyak 8.6 kali berdasarkan FY27F, selain menawarkan potensi kenaikan 66% dan hasil dividen kira-kira 6%.
RHB Research turut menyifatkan penilaian saham Texchem pada lima kali P/E sebagai menarik, mengambil kira prospek pertumbuhan dan kepelbagaian segmen perniagaan kumpulan itu, termasuk pendedahan kepada rantaian bekalan semikonduktor.
Antara risiko utama terhadap prospek kumpulan termasuk jualan atau pesanan lebih rendah daripada jangkaan, peningkatan kos input, turun naik harga bahan kimia serta perubahan kadar pertukaran mata wang asing. - DagangNews.com





