
REMBAU – Buah tampoi yang makin sukar ditemui menjadi lubuk rezeki buat tiga generasi keluarga Orang Asli di Kampung Orang Asli Dusun Paya, Seri Kendong di sini.
Seorang peniaga, Nadila Adilah, 24, berkata, dia memperoleh empat bakul buah itu yang berharga RM1,000 daripada penduduk Orang Asli di Hulu Langat, Selangor setiap minggu.
Katanya, minat orang ramai terhadap buah itu begitu menggalakkan kerana buah tampoi semakin sukar diperoleh.
Malah terdapat pelanggan yang sanggup datang dari Johor dan Kuala Lumpur untuk mendapatkan buah tersebut.
“Pokoknya ada, tetapi bukan setiap masa berbuah. Biasanya ia hanya mengeluarkan hasil setahun sekali. Lebih menarik, ada buah yang isinya berwarna oren sedangkan yang biasa dilihat isi nya putih.
“Sebab itu ada pelanggan yang pelik bila pertama kali melihat buah ini,” katanya ketika ditemui.
Nadila berkata, keluarganya menjual empat bakul tampoi seminggu dengan nilai jualan mencecah tiga angka setiap hari. Lokasi kedainya yang terletak di tepi jalan menarik perhatian pembeli dan ia dijual pada harga RM15 seikat.
Nenek Nadila, Bosong Kandau, 62, dan ibunya, Diana Hamzah, 41, turut membantu dalam usaha mengekalkan tanaman warisan tersebut. Nadila turut menyemai biji tampoi bagi memelihara tanaman tersebut.
“Sayang kalau buah yang susah hendak jumpa ini pupus begitu sahaja. Sebab itu kami cuba semai dan tanam semula supaya generasi akan datang masih dapat mengenalinya,” katanya.
The post Buah tampoi unik sumber rezeki Nadila appeared first on Kosmo Online.





