Buatlah pilihan raya, tak perlu darurat - Sanusi

LocalPolitics
16 Apr 2026 • 6:39 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Buatlah pilihan raya, tak perlu darurat - Sanusi
MUHAMMAD SANUSI

ALOR SETAR – Cadangan darurat bagi menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) dilihat bukan satu keperluan, kata Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Ini kerana Menteri Besar Kedah itu mendakwa, pilihan raya akan datang dijangka menyaksikan perubahan landskap politik dalam negara.

“Saya rasa buatlah pilihan raya, bukan isu besar, tak payah sampai darurat. Buatlah pilihan raya kerana pilihan raya akan datang semua orang akan menolak DAP.

"Buatlah sekarang, sebab nak bagi negara ini berubah landskapnya, kalahkan DAP," katanya pada sidang media selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian mengulas cadangan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong yang juga Pengerusi DAP negeri yang mencadangkan supaya Kerajaan Melaka mengemukakan petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mengisytiharkan darurat.

Cadangan itu dikemukakan bagi menangguhkan PRN berikutan tekanan kos sara hidup yang meningkat susulan krisis bahan api.

Selain itu, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan sebelum ini dilaporkan mencadangkan penangguhan PRN Johor dan PRN Melaka dibawa ke Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO susulan ketidaktentuan geopolitik global.

Ahmad dilaporkan berkata, pandangan itu adalah berdasarkan pertimbangan logik politik dan bukan pendirian rasmi parti memandangkan keadaan semasa yang mencabar.