
SUNGAI SIPUT: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut selepas terjatuh dari ketinggian kira-kira lima meter di Jambatan Victoria, Enggor, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintenden Charan Ai Wan berkata, kejadian sekitar pukul 6.30 petang itu berlaku ketika mangsa berjalan di atas jambatan tersebut bersama bapanya sambil memegang tangan sebelum terjatuh ke dalam satu lubang.
Katanya, kanak-kanak itu kemudian dilihat ibunya berada di atas jalan raya dalam keadaan masih hidup sebelum mangsa dikejarkan ke Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan.
“Mangsa bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia di wad kecemasan hospital berkenaan sekitar pukul 7.40 petang.
“Bedah siasat mayat mangsa dijalankan di Hospital Taiping hari ini sebelum dituntut waris,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan mendapati mangsa yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik itu beralamat di Kluang, Johor dan bersama keluarganya datang bercuti ke Kuala Kangsar sebelum berkunjung ke Jambatan Victoria.
“Polis masih menjalankan siasatan dengan mengambil keterangan waris dan saksi yang terlibat selain merakam gambar di tempat kejadian.
“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui keadaan sebenar kejadian,” katanya.-UTUSAN
The post Budak lelaki tiga tahun maut jatuh Jambatan Victoria appeared first on Utusan Malaysia.






