Kanak-Kanak 3 Tahun Maut Terjatuh Dari Jambatan Victoria

1 Sep 2026 • 7:03 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Kanak-Kanak 3 Tahun Maut Terjatuh Dari Jambatan Victoria

KUALA KANGSAR - Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut selepas terjatuh kira-kira lima meter melalui ruang pada struktur Jambatan Victoria di Enggor di sini, ketika berkunjung ke lokasi bersejarah itu bersama bapanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang semalam, mangsa sedang berjalan melintasi jambatan tersebut sambil berpimpin tangan dengan bapanya, 42, sebelum terjatuh melalui satu ruang pada jambatan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintenden Charan Ai Wan, berkata mangsa jatuh ke jalan berturap dan mengalami kecederaan serius.

“Selepas terjatuh ke jalan berturap itu, mangsa masih hidup sebelum dikejarkan ke jabatan kecemasan hospital.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 7.40 malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mangsa yang berasal dari Kluang, Johor, dilaporkan mengunjungi Jambatan Victoria bersama keluarganya sempena cuti umum Hari Kebangsaan.

Susulan kejadian, jambatan ikonik berkenaan ditutup kepada orang awam hari ini atas faktor keselamatan.

Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) bersama pihak polis turut memasang penghadang serta pita amaran di sekitar kawasan terbabit bagi menghalang pengunjung daripada menghampiri lokasi kejadian.

Seorang peniaga gerai berhampiran yang hanya mahu dikenali sebagai Nyah berkata, suami dan menantunya sedang menguruskan gerai ketika mereka terdengar bunyi hentakan kuat.

“Pada mulanya mereka menyangka bunyi itu datang daripada beg yang terjatuh. Mereka kemudian terkejut apabila mendapati sebenarnya seorang kanak-kanak telah terjatuh dari tempat tinggi,” katanya.

Menurut Nyah, Jambatan Victoria dipenuhi pengunjung sempena cuti umum Hari Kebangsaan semalam, termasuk keluarga yang membawa anak kecil untuk bergambar di lokasi warisan popular berkenaan.

Kejadian tragis itu sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai aspek keselamatan di kawasan tarikan berkenaan, khususnya ketika musim cuti umum apabila jumlah pengunjung meningkat dengan ketara. - Getaran, 1 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved