Bukan AI yang mengancam pekerja, tetapi industri yang tidak bersedia

LocalTechnology
12 Aug 2026 • 8:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Bukan AI yang mengancam pekerja, tetapi industri yang tidak bersedia Image from: Bukan AI yang mengancam pekerja, tetapi industri yang tidak bersedia johardy12/08/2026 - 08:00 Oleh Dr. Mohd Zulfabli Hasan suratpembaca@dagangnews.com

Isu automasi dan kecerdasan buatan (AI) dalam pasaran kerja bukan lagi sekadar wacana tentang masa depan. Perubahan itu sudah berlaku dan industri Malaysia kini berdepan dengan kesannya.

 

Kajian Impak Kecerdasan Buatan, Digital dan Ekonomi Hijau yang dijalankan TalentCorp mendapati hampir tiga juta pekerja Malaysia berpotensi terkesan oleh peralihan AI, digital dan ekonomi hijau dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang. Kira-kira 685,000 daripada mereka pula berisiko tinggi sekiranya tiada langkah campur tangan segera dilaksanakan.

 

Angka ini bukan sekadar statistik. Ia menggambarkan cabaran sebenar yang bakal dihadapi ribuan firma, terutama perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menyumbang lebih 38 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

 

Kerajaan sebenarnya tidak berpeluk tubuh. Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 secara jelas meletakkan AI dan automasi sebagai antara pemacu utama untuk meningkatkan produktiviti, inovasi dan daya saing sektor perkilangan negara.

 

Penubuhan Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) di bawah Kementerian Digital pada 2024 turut menunjukkan keseriusan kerajaan untuk mempercepatkan penggunaan AI secara beretika.

 

Dalam sektor pendidikan pula, Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 menekankan kemahiran digital dan AI dalam kurikulum, termasuk menerusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), bagi merapatkan jurang antara kemahiran graduan dengan keperluan industri.

 

Namun, dasar di peringkat nasional sahaja tidak mencukupi jika perubahan itu tidak sampai ke lantai kilang dan operasi harian PMKS. Persoalan yang lebih penting ialah sama ada industri kita, khususnya PMKS yang menjadi tulang belakang ekonomi negara, benar-benar bersedia dari segi budaya kerja untuk menghadapi perubahan ini.

 

Pekerja pertengahan berdepan risiko

Salah satu kesan automasi yang kurang mendapat perhatian ialah risiko polarisasi pekerjaan (job polarization), iaitu apabila pekerjaan berkemahiran pertengahan semakin berkurangan, manakala pekerjaan berkemahiran tinggi dan rendah berkembang pada kadar yang tidak seimbang.

 

Golongan berkemahiran pertengahan seperti penyelia pengeluaran, juruteknik dan kerani operasi selama ini memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran operasi PMKS.

 

Jika mereka tidak dibekalkan kemahiran baharu, automasi bukan sahaja boleh menjejaskan pekerjaan mereka, malah berpotensi menggugat kestabilan operasi firma.

 

Sebab itu, persoalan utama bukan sama ada teknologi akan menggantikan manusia. Perkara yang lebih penting ialah bagaimana pekerja boleh dipersiapkan untuk bekerja bersama teknologi baharu.

 

Pemikiran Lean sebagai jambatan

Di sinilah prinsip `Pemikiran Lean' atau Lean Thinking boleh memainkan peranan. Namun, pendekatan ini sering disalahfaham sebagai usaha semata-mata untuk memotong kos dan mempercepatkan proses.

 

Sebenarnya, satu daripada tunjang utama falsafah Lean yang berasal daripada Toyota Production System ialah prinsip `respect for people' atau menghormati manusia. Ia menekankan pembangunan kemahiran pekerja secara berterusan melalui budaya penambahbaikan (kaizen) serta penglibatan aktif pekerja barisan hadapan dalam menyelesaikan masalah operasi.

 

Firma yang telah membina budaya Lean secara konsisten, termasuk mempunyai piawaian kerja yang jelas, menggunakan data untuk menyelesaikan masalah dan melaksanakan latihan silang kemahiran (cross-training), lazimnya lebih bersedia menerima automasi dan AI berbanding firma yang masih bergantung kepada cara kerja tidak tersusun.

 

Ini kerana budaya Lean membiasakan pekerja berfikir secara sistematik, mengenal pasti pembaziran, menyelesaikan masalah dan menyesuaikan diri apabila sesuatu proses berubah. Kemahiran seperti ini menjadi semakin penting apabila operasi mula beralih kepada sistem berautomasi.

 

Bagi PMKS yang mempunyai kekangan modal untuk membuat pelaburan besar dalam AI dan robotik, prinsip Lean juga boleh menjadi langkah permulaan yang lebih praktikal.

 

Firma tidak semestinya perlu membeli robot atau sistem AI yang mahal terlebih dahulu. Menambah baik aliran kerja, mengurangkan pembaziran, memperkemas proses dan membina budaya penambahbaikan berterusan boleh dimulakan dengan kos yang lebih rendah.

 

Langkah ini pada masa sama dapat menyediakan asas budaya kerja yang lebih kukuh sebelum sesebuah firma membuat pelaburan dalam teknologi automasi yang lebih canggih.

 

Teknologi perlu bergerak bersama manusia

Peralihan kepada automasi dan AI di Malaysia tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai soal teknologi atau berapa banyak modal yang sanggup dilaburkan. Ia juga menjadi ujian terhadap kematangan budaya kerja sesebuah organisasi.

 

Firma yang berjaya tidak semestinya firma yang paling pantas membeli mesin atau menggunakan sistem AI terkini. Sebaliknya, firma yang lebih bersedia ialah firma yang mampu membangunkan pekerjanya seiring dengan perkembangan teknologi.

 

Sokongan dasar seperti NIMP 2030, NAIO dan RPTM 2026–2035 menyediakan rangka kerja yang kukuh di peringkat negara.

 

Namun, kejayaan sebenar bergantung kepada sejauh mana firma, khususnya PMKS, mampu mengambil pendekatan yang seimbang antara pelaburan dalam teknologi dengan pelaburan dalam pembangunan manusia.

 

Automasi dan pemikiran Lean bukan dua perkara yang perlu bergerak secara berasingan. Teknologi boleh meningkatkan kecekapan, manakala budaya Lean membantu menyediakan pekerja dan organisasi untuk menerima perubahan tersebut.

 

Akhirnya, persoalannya bukan sama ada AI dan automasi akan mengubah industri Malaysia kerana perubahan itu sudah pun berlaku.

 

Persoalan yang perlu dijawab sekarang ialah sama ada industri kita cukup bersedia untuk memastikan teknologi dan manusia berkembang bersama. - DagangNews.com


Dr. Mohd Zulfabli Hasan merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Pengurusan dan Teknologi, Fakulti Pengurusan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor Bahru, dengan kepakaran dalam Pengurusan Lean dan Operasi.
Parafrasa Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved