
KUALA LUMPUR: “Cukup-cukuplah guru, dengarlah suara rakyat.”
Demikian tegas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar mengambil kira suara rakyat dalam menentukan dasar kerajaan.
Beliau berkata, UMNO bersama Barisan Nasional (BN), kepimpinan Pas dan rakyat mahukan pendekatan yang lebih baik dalam menangani isu berkaitan kehidupan serta ekonomi rakyat.
“Guru (Anwar), cukup-cukuplah guru, dengarlah suara kami guru. Dengarlah suara rakyat wahai guru, cukup-cukuplah. Insya-Allah kami boleh buat yang lagi baik dari yang guru buat.
“Ini bukan suara UMNO, ini juga suara seluruh parti BN, seluruh ahli kepimpinan Pas, seluruh rakyat. Guru dengarlah guru, jangan butakan mata, jangan tulikan telinga, cukup-cukuplah,” katanya dalam Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO hari ini.
Ahmad Zahid berkata, pendirian itu bukan bertujuan mengapi-apikan keadaan, sebaliknya bagi mengelakkan keresahan serta kekeliruan berterusan dalam kalangan rakyat.
“Saya bukan mahu mengapi-apikan. Tetapi kita tidak mahu menimbulkan keresahan. Kita tidak mahu menimbulkan kegelisahan apatah lagi kekeliruan yang tidak berkesudahan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, UMNO berhasrat membina negara sejahtera dengan menyasarkan setiap keluarga mempunyai sekurang-kurangnya 30 peratus pendapatan boleh guna selepas memenuhi keperluan asas.
Katanya, lebihan pendapatan itu penting bagi membolehkan rakyat membuat simpanan, pelaburan selain menikmati kehidupan yang lebih baik.
“Oleh itu guru, kita berhasrat untuk membina negara sejahtera untuk menyasarkan setiap keluarga mempunyai sekurang-kurangnya 30 peratus pendapatan boleh guna selepas memenuhi keperluan asas bagi menyimpan dan melabur serta menikmati kehidupan,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, Malaysia juga perlu memperkukuh daya tahan negara bagi menghadapi ketidaktentuan dunia yang semakin mencabar.
“Dunia hari ini tidak menentu, untuk itu ikhtiar kelima ialah menjadikan malaysia negara berdaya tahan. Pandemik telah mengajar kita tentang kesihatan. Perang telah mengajar kita tentang tenaga dan bekalan makanan.
“Banjir mengajar tentang dan perubahan. Serangan siber pula mengingatkan ancaman hari ini tidak lagi datang melalui sepadan fizikal
“Maka malaysia perlu menjadi negara yang berdaya tahan dalam menghadapi krisis. Sasaran kita, Malaysia perlu mempunyai sekurang-kurangnya 70 peratus kemandirian terhadap keperluan strategik merangkumi keterjaminan makanan, bekalan makanan, hubungan dan komunikasi, sumber tenaga air, pertahanan dan industri strategik dan tempoh yang kita hasratkan,” katanya. –UTUSAN
The post ‘Cukup-cukuplah guru, dengarlah suara rakyat’ appeared first on Utusan Malaysia.






