Pelajar hampir pekak didapati terlibat pergaduhan

19 Aug 2026 • 1:47 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Pergaduhan

KLANG: Insiden seorang pelajar lelaki tingkatan tiga hampir pekak di sebuah sekolah menengah di Shah Alam pada minggu lalu didakwa melibatkan kes pergaduhan.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS), Datin Wan Nor Ashikin Abu Kassim berkata, bagaimanapun siasatan menyeluruh termasuk mediasi bersama guru dan ibu bapa berhubung isu tersebut serta sokongan kepada pelajar terbabit turut dilakukan.

“Memang berlaku kes itu di sekolah berkenaan, tetapi kita pun ada lakukan proses mediasi dengan ibu bapa dan sebagainya. Siasatan itu bukan pada satu pihak sahaja, sebaliknya menyeluruh kepada kedua-dua pihak.

“Jadi, setakat ini dapatan kita tiada sebenarnya (insiden buli) sebaliknya hanya pergaduhan. Tiada unsur buli. Anak-anak pula (mungkin sensitif) terkena sedikit…tetapi bukanlah buli,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Aspirasi Pendidikan anjuran Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) di sini, hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, pelajar terbabit didakwa mengalami masalah pendengaran dan trauma teruk selain gangguan emosi akibat dibuli pada Rabu minggu lalu.

Ibu mangsa, Nurhaswaty Zamani, 43, berkata, anaknya, Adryz Adrian Azwan, 15, terpaksa menerima rawatan di hospital dan diberitahu berisiko kehilangan pendengaran di telinga kanan anak tunggalnya itu.

Jelas Wan Nor Ashikin, pihaknya juga akan merujuk kepada Kementerian Pendidikan bagi tindakan lanjut susulan ibu bapa pelajar berkenaan sudah pun membuat laporan polis dan akan mengambil tindakan undang-undang.

“Bagi pihak kita (JPNS) kita menjalankan siasatan dan proses itu masih berjalan. Kita juga serahkan kepada polis yang membuat siasatan, kita tak mahu mengganggu siasatan.

“(Bagaimanapun) Kita tidak akan berdiam diri (terhadap isu buli atau gaduh), kita akan sentiasa membuat siasatan. Kaunselor-kaunselor sekolah pun kita hadirkan sekali untuk memberi semangat kepada anak-anak murid,” ujarnya.

Terdahulu, dalam program tersebut beliau menerima sumbangan oleh Yayasan MBI kepada 120 sekolah berjumlah RM2 juta pada tahun ini yang diterima daripada ketuanya, Ahmad Azri Zainal Nor dan keseluruhan sebanyak RM15 juta diberikan sejak tahun lalu.

Dalam pada itu, Ahmad Azri turut memaklumkan pihaknya bekerjasama dengan JPNS bagi melaksanakan program sokongan mental kepada pelajar dengan memilih sebuah sekolah di bandar sebagai projek perintis.

“Kita ada satu program khas yang dipanggil sebagai intervensi isu kesihatan mental. Jadi kita pilih satu sekolah perintis bersama sebuah perusahaan sosial yang dipanggil sebagai ‘Sapot’.

“Kemudian dengan kurikulum atau bengkel (modul) yang dibuat, kita akan replicate di sekolah-sekolah lain, kita buat dengan pelajar terlebih dahulu yang dipilih antara 10 hingga 20 orang bagi menjalani program selama tiga ke empat bulan bermula tahun ini,” jelasnya. – UTUSAN

The post Pelajar hampir pekak didapati terlibat pergaduhan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved