Kes buli Shah Alam diklasifikasi pergaduhan - JPN Selangor

19 Aug 2026 • 2:28 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kes buli Shah Alam diklasifikasi pergaduhan - JPN Selangor
Ahmad Azri (kiri) menyerahkan replika cek kepada Wan Nor Ashikin pada Majlis Aspirasi Pendidikan Yayasan MBI 2026 pada Rabu.

KLANG - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor mengklasifikasikan kejadian pelajar di sebuah sekolah di Shah Alam yang dilaporkan kes buli sebelum ini sebagai pergaduhan.

Pengarahnya, Datin Wan Nor Ashikin Abu Kassim berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan menyeluruh dengan mengambil keterangan daripada kedua-dua pihak terbabit.

"Memang ada berlaku kes itu di sekolah berkenaan, tetapi kita sudah melakukan proses mediasi dengan ibu bapa serta menjalankan siasatan secara menyeluruh.

"Berdasarkan dapatan awal setakat ini, ia sebenarnya pergaduhan dan bukan buli," katanya ketika ditemui selepas Majlis Aspirasi Pendidikan Yayasan MBI 2026 di sini pada Rabu.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan, seorang ibu, Nurhaswaty Zamani, 43, mendakwa anaknya, Adryz Adrian, 15, mengalami kecederaan pada kepala dan telinga selepas dipercayai menjadi mangsa buli serta serangan di sebuah sekolah menengah di Shah Alam.

Nurhaswaty meluahkan kebimbangan selepas anak tunggalnya itu dilaporkan berdepan risiko kehilangan pendengaran susulan kecederaan dialaminya.

Mengulas lanjut, Wan Nor Ashikin menjelaskan, pihak sekolah turut mengambil pendekatan segera dengan mengarahkan pengetua menziarahi pelajar terbabit selain mendapatkan khidmat kaunselor bagi memberi sokongan dan semangat.

Katanya, pihak Nazir turut terbabit dalam proses siasatan berhubung kejadian berkenaan.

"Bagi pihak kami, siasatan dan proses itu masih berjalan, selain sudah menyerahkan perkara ini kepada polis untuk siasatan dan tidak mahu mengganggu siasatan pihak berkuasa.

"Pada masa sama, apa yang dilakukan ibu bapa termasuk membuat laporan polis atau mengambil tindakan undang-undang adalah hak mereka,” katanya.

Wan Nor Ashikin berkata, JPN Selangor memandang serius aspek keselamatan dan kebajikan pelajar serta akan terus melakukan penambahbaikan sekiranya terdapat sebarang kelemahan di sekolah.

Beliau berkata, pihak sekolah juga mempunyai jadual pemeriksaan mengejut sebagai antara langkah pencegahan, namun ia tidak boleh dilakukan setiap hari kerana perlu mengambil kira masa pengajaran dan pembelajaran.

"Guru kita semua komited menjalankan tugas, malah saya sendiri selalu turun ke sekolah dan melihat apa yang mereka lakukan.

"Namun, perkara yang berlaku kadang-kadang di luar kawalan dan dugaan kita. Selepas sesuatu kejadian berlaku, kita tetap membuat pelbagai penambahbaikan," tambah beliau.

Sementara itu, Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata, pihaknya akan melaksanakan program intervensi isu kesihatan mental pelajar secara berperingkat menerusi sebuah sekolah perintis sebelum diperluaskan ke sekolah lain.

Menurutnya, pelaksanaan awal membabitkan pelajar terpilih bagi membolehkan pihaknya menilai keberkesanan pendekatan yang digunakan berdasarkan data dan maklumat daripada sekolah.

"Model ini bukan ‘one-off’, tetapi mempunyai tempoh bulanan yang mana data dan maklumat pelajar akan dibekalkan pihak sekolah untuk kita bekerjasama dan melihat perkembangan pelajar berkenaan.

"Jika terdapat peningkatan, Insya-Allah kita boleh bawa program ini ke sekolah-sekolah lain,” katanya.

Jelas beliau, pada peringkat awal, kira-kira 10 hingga 20 pelajar yang dikenal pasti memerlukan intervensi akan dipilih untuk mengikuti program berkenaan.

Katanya, program itu akan dilaksanakan dalam tempoh kira-kira tiga hingga empat bulan bagi melihat perubahan dan perkembangan pelajar terbabit.

"Buat masa ini kita libatkan pelajar dahulu, manakala guru akan diberikan program lain selepas ini," tambah beliau.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved