
KLANG – Prosedur keselamatan di sekolah sentiasa dipertingkatkan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan murid terus terpelihara sepanjang mengikuti sesi pembelajaran.
Pengarah Pendidikan Negeri Selangor, Datin Wan Nor Ashikin Abu Kassim berkata, pihaknya turut melaksanakan pemeriksaan mengejut terhadap murid mengikut jadual sebagai antara langkah memastikan persekitaran sekolah kekal selamat.
“Tidaklah setiap hari kita buat ‘spot check’ (pemeriksaan mengejut) kerana ia melibatkan masa. Bagaimanapun, kami memang sudah menyusun jadual untuk menjalankan pemeriksaan berkenaan.
“Kes seperti ini (dua kes tikam) ibarat malang tidak berbau. Pihak guru sudah menjalankan tugas mereka sebaik mungkin bagi memastikan keselamatan sekolah,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Aspirasi Pendidikan Yayasan MBI Selangor 2026, di sini hari ini.
Wan Nor Ashikin berkata, pihaknya akan terus menilai dan menambah baik prosedur keselamatan dari semasa ke semasa bagi memastikan tahap keselamatan sekolah sentiasa berada pada tahap terbaik.
“Saya selalu turun ke sekolah di seluruh Selangor dan melihat semua guru memberikan komitmen 100 peratus untuk memastikan sekolah selamat.
“Kita tidak boleh menjangka sesuatu kejadian berlaku. Apapun, kita akan terus tambah baik prosedur keselamatan dalam sekolah,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post JPN Selangor perkasa keselamatan sekolah appeared first on Kosmo Digital.






