Bukan hanya BASS, ini 5 ‘kenduri’ mega artis tempatan

31 Oct 2026 • 9:18 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Bukan hanya BASS, ini 5 ‘kenduri’ mega artis tempatan

PERNIKAHAN penyanyi dan pelakon, Bella Astillah dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq bukan sekadar menyatukan dua hati, malah mencetuskan fenomena luar biasa apabila kemeriahan majlis, kehadiran barisan kenamaan serta kisah cinta sarat emosi berpadu mencuri perhatian seluruh negara.

Pasangan popular dikenali dengan gelaran BASS itu sah bergelar suami isteri pada 10 Oktober lalu, sebelum meneruskan keraian dengan persandingan mega di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) serta Kenduri Rakyat di Muar, Johor, sebelum sambutan diteruskan di Sabah pada 31 Oktober ini.

Keistimewaan perkahwinan BASS tidak hanya terletak pada kemegahan majlis atau senarai tetamu kenamaan, sebaliknya kisah cinta yang menyentuh perasaan, sekali gus mengangkat penyatuan mereka sebagai antara calon paling menonjol untuk gelaran Wedding of the Year 2026.

Namun, pentas perkahwinan selebriti tanah air bukan hanya pernah disinari kemeriahan BASS kerana sejumlah pasangan popular terdahulu turut mencipta sejarah tersendiri menerusi majlis raja sehari serba gah, penuh warna dan meninggalkan kenangan yang terus terpahat dalam ingatan peminat.

Minggu ini, Gala mengimbas kembali lima perkahwinan selebriti yang pernah mencetuskan fenomena daripada majlis bertaraf mega hingga resepsi penuh romantis yang membuktikan hari bahagia insan seni sentiasa mempunyai tempat istimewa di hati khalayak.

  • Erra Fazira & Ezwan Zain

PERKAHWINAN primadona tanah air, Erra Fazira bersama usahawan, Ezwan Zain pada 12 Disember 2025 menjadi antara majlis perkahwinan selebriti yang mencuri perhatian peminat seni tempatan.

Selepas melalui dua kegagalan rumah tangga, Erra akhirnya membuka lembaran baharu dalam kehidupan peribadinya, malah majlis pernikahan mereka turut ditunggu-tunggu ramai selepas kisah percintaan mereka diintai ramai.

Mas kahwin berupa 24 dinar emas antara perincian yang diperkatakan selain babak cinta kedua-duanya menyentuh hati masyarakat terutama buat seorang figura dikenali ramai yang akhirnya menemui kebahagiaan.

  • Datuk Seri Siti Nurhaliza & Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa

 MENJADI antara majlis yang dinanti-nantikan, perkahwinan Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza dengan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa pada 21 Ogos 2006 bukan sahaja digelar Wedding of the Year, malah turut mencuri tumpuan media antarabangsa.

Majlis perkahwinan penghibur kesayangan ramai itu disenaraikan antara Asia’s Most High-Profile Weddings oleh portal berita kewangan antarabangsa, CNBC.

Kemuncak sambutan adalah resepsi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 28 Ogos, diikuti satu lagi majlis di Kuala Lipis, Pahang, pada 3 September bagi meraikan keluarga, media dan peminat. 

Perkahwinan tersebut menjadi fenomena nasional kerana skala sambutan, liputan media serta kedudukan Siti sebagai figura utama industri muzik. 

Sehingga kini, majlis tersebut masih menjadi penanda aras apabila masyarakat membincangkan perkahwinan selebriti bertaraf mega.

  • Fattah Amin & Amira Othman

KISAH cinta pelakon, Fattah Amin dan penyanyi, Amira Othman menjadi antara cerita paling hangat dalam dunia hiburan pada 2025 apabila pasangan itu mengesahkan cinta mereka sebelum disatukan sebagai suami isteri pada 14 September tahun sama. 

Perhatian terhadap pasangan itu semakin memuncak apabila Fattah membuat kejutan ketika pelancaran lagu Rasa & Takdir, nyanyian Amira bersama adiknya, Irfan Haris.

Perkahwinan mereka layak digelar dalam senarai Wedding of the Year kerana gabungan unsur kejutan, percintaan dan populariti pasangan yang mencetuskan perbualan meluas dalam kalangan peminat hiburan.

  • Shaheizy Sam & Syatilla Melvin

PELAKON, Shaheizy Sam dan Syatilla Melvin disatukan dalam majlis akad nikah tertutup di kediaman keluarga Syatilla di Jawi, Nibong Tebal, Pulau Pinang pada 8 Februari 2016.

Majlis itu lebih istimewa kerana berlangsung pada hari ulang tahun kelahiran Syatilla yang ke-25 dan pengantin perempuan menerima mas kahwin RM10,082 bersama tujuh dulang hantaran.

Antara perkara yang mencuri perhatian ialah nilai tajaan merangkumi barang kemas, busana pengantin, dekorasi dan pelbagai keperluan majlis dengan anggaran RM25 juta.

Resepsi diadakan di Pulau Pinang sebelum majlis sebelah pengantin lelaki berlangsung di Kuala Lumpur, menjadikan sambutan mereka antara perkahwinan selebriti paling diingati.

  • Rozita Che Wan & Zain Saidin

PELAKON Rozita Che Wan menerima wang hantaran RM23,200, mas kahwin RM9,300 dan sebentuk cincin perkahwinan bernilai RM93,000 pada hari pernikahannya dengan aktor, Zain Saidin.

Penampilan pengantin yang glamor dengan variasi barangan berjenama turut menjadi sorotan, sekali gus majlis serba mewah itu menjadi peristiwa penting dalam kalendar hiburan tempatan.

Sehingga kini, perkahwinan Rozita dan Zain yang turut mendapat tajaan bernilai RM13 juta melibatkan barang kemas, persalinan pakaian dan pelamin masih dalam senarai hari bersejarah yang diingati ramai.



The post Bukan hanya BASS, ini 5 ‘kenduri’ mega artis tempatan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved