Bukan minta PM Anwar lindungi, cuma minta teliti kes kerana saya memang tak terlibat – Saravanan

LocalPolitics
28 Aug 2026 • 4:25 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan menegaskan pertuduhan rasuah yang dihadapinya bukan cara untuk menjatuhkannya sebagai ahli politik, malah mencabar pihak lawan menghantar calon terbaik untuk bertanding dengannya di Tapah.

Berkata kepada Sinar Harian, Saravanan, 58, menyatakan rasa terkejut dengan tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1.097 juta berkaitan kelulusan kuota pekerja asing yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pada Jumaat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tapah dan Timbalan Presiden MIC mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

“Saya tidak mahu menyentuh mengenai fakta kerana perkara itu akan kita bincangkan di mahkamah nanti.
“Apa yang penting, saya tidak pernah mempunyai sebarang hubungan dengan mana-mana individu yang disebut di mahkamah tadi, saya tidak mengenali mereka kecuali Syed Amirul, itu pun secara peribadi. Saya tidak mempunyai hubungan dengan Syed Amirul,” katanya pada sidang akhbar selepas prosiding di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, di sini, pada Jumaat.
Image from: Bukan minta PM Anwar lindungi, cuma minta teliti kes kerana saya memang tak terlibat – Saravanan

Kredit Foto: Astro AWANI/Shahir Omar

Saravanan berkata, beliau tidak menganggap dirinya terjejas dengan pertuduhan berkenaan dan menegaskan fakta kes akan dibentangkan melalui proses perbicaraan.

“Ini bukan cara kalau nak jatuhkan saya, hantarlah calon yang terbaik ke Tapah, bertanding dengan saya, jangan gunakan taktik macam ini untuk jatuhkan seorang ahli politik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata bersedia menghadapi proses perbicaraan dan berharap kes berkenaan dapat disegerakan bagi mengelakkan ia berlarutan.

“Saya bersedia untuk menghadapi mahkamah dan saya bersedia untuk bekerjasama, cepatkan sahaja kes ini.
“Saksi pun tidak ramai, sedikit sahaja. Sebulan pun boleh selesai jika diperlukan,”ujar beliau.
Image from: Bukan minta PM Anwar lindungi, cuma minta teliti kes kerana saya memang tak terlibat – Saravanan

Kredit Foto: Utusan Malaysia

Beliau turut meminta supaya kelewatan prosiding tidak digunakan sehingga menjejaskan reputasinya.

“Jangan gunakan taktik melengah-lengahkan prosiding untuk memburukkan nama saya, kalau betul-betul ikhlas mahu mendakwa saya, cepatkan kes ini,” katanya.

Mengenai perbincangannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Saravanan berkata beliau tidak pernah meminta bantuan untuk melindunginya daripada pertuduhan berkenaan.

“Saya bukan meminta Perdana Menteri untuk melindungi saya, saya meminta Perdana Menteri membantu meneliti kes ini kerana saya memang tidak terlibat.
“Saya tidak meminta beliau membantu saya untuk menyelesaikan perkara ini, saya meminta supaya siasatan diteruskan,”jelasnya.

Saravanan berkata, fakta berkaitan kes itu akan dibentangkan melalui proses perbicaraan dan meminta semua pihak menunggu perjalanan kes di mahkamah.

“Saya langsung tidak berasa malu dengan tuduhan ini kerana apabila fakta keluar nanti, anda akan berasa malu.
“Rakyat akan tahu bagaimana saya dituduh berdasarkan maklumat yang palsu, bersabar sahaja, tidak lama lagi fakta akan keluar,” katanya.
Image from: Bukan minta PM Anwar lindungi, cuma minta teliti kes kerana saya memang tak terlibat – Saravanan

Kredit Foto: BERNAMA

Beliau turut menegaskan kepentingan mempercepatkan proses perbicaraan kerana mempunyai tanggungjawab sebagai wakil rakyat dan pemimpin parti.

“Saya seorang wakil rakyat dan Timbalan Presiden MIC, saya mempunyai tanggungjawab terhadap ahli-ahli parti saya.
“Saya cuma meminta supaya proses ini dipercepatkan, itu sahaja permintaan saya”ujar beliau.

Sumber: Sinar Harian

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved