Saravanan terkejut dikenakan tiga pertuduhan ‘fakta sebenar akan keluar di mahkamah’

LocalPolitics
28 Aug 2026 • 1:21 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Saravanan terkejut dikenakan tiga pertuduhan ‘fakta sebenar akan keluar di mahkamah’

KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan terkejut dengan tiga pertuduhan rasuah yang dikenakan ke atasnya dan yakin fakta sebenar akan didedahkan ketika prosiding mahkamah nanti.

Ahli Parlimen Tapah yang juga Timbalan Presiden MIC itu, berkata beliau juga tidak mempunyai hubungan peribadi dengan individu yang dinamakan dalam pertuduhan berkenaan.

“Tidak lama lagi fakta akan keluar. Hari ini saya tidak boleh sebut fakta. Apabila kes ini dibicarakan di mahkamah, fakta akan keluar.

“Yang penting, saya mahu membersihkan nama saya melalui proses perbicaraan yang adil," katanya pada sidang media di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Ditanya sama ada pertuduhan itu bermotifkan politik, Saravanan, 58, berkata:

“Jika anda mahu menjatuhkan saya secara politik, hantar calon terbaik ke Tapah dan cabar saya.

“Jangan gunakan taktik seperti ini untuk menjatuhkan seseorang daripada politik. Saya juga mempunyai keluarga,” katanya.

Terdahulu, Saravanan didakwa di Mahkamah Sesyen, hari ini atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1.097 juta berhubung kelulusan bagi permohonan 1,000 kuota pekerja asing untuk sebuah syarikat, empat tahun lepas.

Saravanan, 58, mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan satu per satu di hadapan Hakim Azura Alwi.

Azura membenarkan Saravanan diikat jamin RM450,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia bagi kesemua pertuduhan yang dihadapinya.

Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan, iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhampiran setiap tiga bulan sekali sehingga perbicaraan selesai, selain dilarang mengganggu saksi pendakwaan sama ada secara sendiri atau melalui pihak ketiga.

Sementara itu, Saravanan turut meminta supaya kes berkenaan tidak dilengah-lengahkan dan proses perbicaraan dipercepatkan memandangkan beliau mempunyai tanggungjawab kepada rakyat sebagai Ahli Parlimen dan parti.

Dalam pada itu, ditanya mengenai surat yang pernah dihantar kepada Perdana Menteri, beliau memberitahu, perkara itu sudah membincangkan perkara itu dengan Perdana Menteri sejak enam bulan lalu.

"Saya tidak minta Perdana Menteri kawal SPRM, saya minta Perdana Menteri membantu meneliti kes ini kerana saya memang tidak terlibat.

"Sekarang rayuan kedua saya, cepatkan kes ini dan jalankan dalam masa terdekat. Ini membabitkan seorang wakil rakyat dan Timbalan Presiden MIC. Saya ada tanggungjawab terhadap ahli-ahli parti saya," katanya.

Saravanan berkhidmat sebagai Menteri Sumber Manusia dari 2020 hingga 2022. - 28 Ogos, 2026

The post Saravanan terkejut dikenakan tiga pertuduhan ‘fakta sebenar akan keluar di mahkamah’ appeared first on Scoop.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved