
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Rokok dan vape (rokok elektronik) membahayakan kesihatan, pasti ramai yang tahu tentang perkara itu bukan? Namun sehingga hari ini masih ada individu yang menghisapnya.
Apa yang lebih membimbangkan, generasi muda termasuk segelintir kanak-kanak bawah umur di Malaysia juga sudah mula terjebak dengan gejala tidak sihat ini.
Baca Artikel Berkaitan: 30% ‘Kaki’ Vape Di Malaysia Berumur 12 Hingga 15 Tahun
Selain ibu bapa yang harus memantau aktiviti anak-anak mereka, kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri juga haruslah memainkan peranan penting dalam mencegah perkara ini daripada terus berleluasa.
Terengganu akan haramkan vape sepenuhnya
Seperti baru-baru ini, Terengganu akan menguatkuasakan larangan penjualan produk rokok elektronik di semua premis di seluruh negeri itu bermula 1 Ogos depan.
Keputusan itu dibuat ketika Mesyuarat Exco Negeri pada Rabu lalu (23 April) sebagai sebahagian daripada usaha mencegah penjualan dan penggunaan produk vape.
Baca Artikel Berkaitan: Beri Kesan Negatif Kepada Kesihatan Rakyat, Terengganu Larang Penjualan Vape Mulai 1 Ogos
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, larangan itu bukanlah untuk menyusahkan rakyat, sebaliknya demi memastikan rahmat dan kebaikan jangka panjang buat seluruh negeri dan negara.
Haramkan vape bukti kerajaan Terengganu ambil berat tentang kesihatan rakyat
Menurutnya, langkah itu adalah manifestasi kepada prinsip Islam bahawa mencegah lebih utama daripada mengubati serta menzahirkan kesungguhan kerajaan negeri dalam memelihara kesihatan rakyat.
Kata Dr Muhammad Khalil, kesan buruk penggunaan vape semakin terbukit terutama membabitkan golongan muda di sekolah.
Jelasnya, berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sehingga 30 September 2024, sebanyak 41 kes penyakit ‘E-cigarette’ or ‘Vaping Product Use-Associated Lung Injury’ (EVALI) telah dilaporkan di negara ini dengan kos rawatan dianggarkan sebanyak RM150,892.11 bagi setiap pesakit.
“Jika langkah pencegahan tidak diambil, beban kos rawatan dijangka melonjak ke paras RM368 juta setahun menjelang 2030.
“Terkini, beberapa hospital kerajaan melaporkan peningkatan kes remaja yang mengalami komplikasi serius seperti halusinasi dan kebocoran paru-paru akibat penggunaan vape yang tidak terkawal.
“Apakah kita mahu terus membiarkan ‘racun’ ini berlegar di tangan generasi muda kita?” katanya dipetik Harian Metro.
Kerajaan negeri bertanggungjawab pelihara nyawa, akal dan keturunan rakyat
Menurutnya lagi, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, pihaknya wajib memelihara nyawa, akal dan keturunan sebagaimana dituntut dalam Maqasid al-Syariah.
Ujar beliau, kerajaan juga menyediakan alternatif di Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) bagi pengusaha vape yang terjejas.
“Saya menyeru seluruh lapisan masyarakat khususnya ibu bapa, pendidik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan semua pihak berautoriti untuk bersama-sama mendukung usaha ini,” katanya.
KKM sambut baik usaha negeri yang haramkan vape
Sebelum ini, KKM menyambut baik keputusan beberapa negeri yang mengharamkan penggunaan vape.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya sentiasa mengawal selia semua produk tembakau dan rokok elektronik mengikut Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
Difahamkan, usaha terbabit termasuk kawalan terhadap penjualan dan pengiklanan untuk memastikan kesihatan awam terpelihara, lapor Sinar Harian.
“Kawalan secara rapi dilakukan, termasuk pendaftaran, penjualan kepada bawah umur, pengiklanan, dan produk yang dipamerkan,” kata Dr Dzulkefly.
Untuk info, sejak beberapa tahun yang lalu lagi Johor, Perlis dan Terengganu telah memutuskan tiada lesen penjualan vape atau rokok elektronik dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri masing-masing.
Malah, Kelantan juga sudah lama tidak membenarkan penjualan bahan terlarang tersebut.
Baca Artikel Berkaitan: Sultan Pahang Titah Vape Perlu Diharamkan Secara Total
Baca Artikel Berkaitan: Rokok Elektronik Atau Vape Haram Buat Umat Islam – Menteri Agama
Source:


