Tular Pemandu e-Hailing Minta Gadis 15 Tahun Buka Tudung, Nak Tengok Muka

LocalPolitics
30 Apr 2025 • 3:24 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.


Gangguan seksual bukanlah sesuatu yang baru lagi di Malaysia, lebih membimbangkan ia masih berlaku sehingga hari ini.

Tidak dinafikan, ada individu yang beranggapan bahawa perbuatan sedemikian hanyalah sekadar gurauan atau usikan untuk menarik perhatian.

Namun, realiti sebenar gangguan seksual merupakan satu jenayah yang boleh memberi kesan buruk kepada mangsa.

Tular pemandu e-hailing minta gadis 15 tahun buka tudung

Seperti baru-baru ini, tular di media sosial video yang memaparkan seorang pemandu e-hailing cuba melakukan gangguan seksual terhadap seorang gadis berusia 15 tahun.

Difahamkan, kejadian tersebut berlaku di sebuah kawasan di Sarawak pada baru-baru ini semasa gadis terbabit yang menjadi penumpang lelaki tua berkenaan sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya.

Menerusi video yang dirakam oleh mangsa, kedengaran jelas suara lelaki itu memintanya untuk membuka tudung.

Tak rasa bersalah minta gadis buka tudung, konon nak tengok muka sahaja

Dalam satu lagi video berasingan, kelihatan lelaki berkenaan berjaya ditahan oleh keluarga remaja terbabit di satu lokasi yang tidak dikenal pasti.

Lelaki tersebut bagaimanapun bersikap seolah-olah tidak melakukan apa-apa kesalahan semasa bapa remaja berkenaan bertanya motif dia meminta anaknya membuka tudung, malah mengugut akan menyaman mereka yang merakam video keretanya.

“Aku nak nangga muka ajak, salahkah (Saya hendak melihat mukanya sahaja, salahkah?),” katanya sambil duduk bersahaja di dalam keretanya.

Turut kedengaran di dalam video bapa mangsa meminta lelaki itu untuk mengikutinya ke balai polis untuk membuat laporan.

image is not available

Kes ini kini di bawah siasatan polis

Dalam pada itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menyatakan beliau mengikuti dengan serius insiden berkenaan.

Menerusi satu hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya, Nancy berkata tindakan tegas bapa mangsa yang menggesa lelaki terbabit ke balai polis untuk membuat laporan mencerminkan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap isu gangguan seksual.

“Saya difahamkan bahawa kes ini kini berada di bawah siasatan pihak polis. Apabila berlaku kes gangguan seksual, masyarakat meletakkan sepenuh kepercayaan kepada pihak polis untuk bertindak dengan adil dan segera,” katanya.

Seru rakyat Malaysia untuk berani bersuara menentang gangguan seksual

Beliau pada masa sama turut menyeru semua pihak untuk berani bersuara menentang gangguan seksual demi mempertahankan maruah dan keselamatan masyarakat.

“Kepada remaja di luar sana, jangan berdiam diri. Anda berhak untuk bertindak demi keselamatan dan maruah diri. Pada masa yang sama, saya komited untuk memperkasa keadilan melalui pelaksanaan penuh Tribunal di bawah Akta Gangguan Seksual.

“Saya juga mengajak semua wanita, lelaki, ibu bapa, pendidik dan rakan sekerja untuk bersama-sama membina persekitaran yang lebih selamat dan bermaruah, dengan berani bersuara apabila berdepan atau menyaksikan sebarang bentuk gangguan seksual, khususnya dalam usaha melindungi kanak-kanak dan wanita,” katanya lagi.