
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Umum mengetahui setiap individu khususnya mereka yang bergelar peniaga di negara ini perlu berniaga dengan proses yang betul.
Sebagai contoh mereka yang berniaga perlu mematuhi setiap aspek kebersihan dan peraturan berniaga seperti mempunyai lesen yang sah.
Mereka yang gagal mengikuti ketetapan yang telah dikuatkuasakan boleh dikenakan hukuman seperti denda dan sebagainya daripada pihak berkuasa.
Influencer jual piza wagyu dikenakan kompaun kerana tiada lesen
Terbaharu seorang usahawan yang juga influencer terkenal di media sosial telah dikenakan tindakan kompaun oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) ekoran menjual piza daging wagyu tanpa lesen, lapor Harian Metro.
Usahawan berkenaan turut menjalankan perniagaan tersebut dengan menggunakan sebuah kenderaan pelbagai guna (MP) mewah di Ampang, Kuala Lumpur pada 28 April lalu.
“Sepanjang aktiviti pemantauan, MPAJ telah mengenal pasti beberapa lokasi aktiviti menjaja tanpa lesen yang menyebabkan gangguan awam.
“Susulan itu, satu kompaun telah dikeluarkan mengikut peruntukan Undang-Undang Kecil MPAJ 2007 bagi memastikan keselamatan dan keselesaan penduduk terjamin.
“MPAJ sentiasa menyokong inisiatif pembangunan usahawan tempatan sebagai pemacu komuniti. Namun demikian, kami amat berharap agar semua pihak dapat mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan demi menjaga keharmonian bersama,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
MPAJ dalam masa sama telah mengatur satu pertemuan dengan pihak berkaitan untuk berbincang dan mencari penyelesaian yang terbaik agar situasi seumpama ini tidak berulang dan tidak menjejaskan ketenteraman awam selain usaha membantu pembangunan usahawan tempatan sebagai langkah proaktif.
Bukan hanya itu, MPAJ juga sentiasa beriltizam untuk terus memperkukuhkan kerjasama dengan seluruh komuniti dalam usaha membina sebuah persekitaran yang lebih selamat, teratur dan sejahtera untuk semua.
Bagi mana-mana pihak yang mempunyai sebarang cadangan mahupun aduan boleh disalurkan di sini atau hubungi talian bebas tol MPAJ di 1-800-22-8100.

Source:





