
PETALING JAYA – Trafik di sekitar Bukit Jalil dilaporkan sesak sepanjang 2.5 kilometer (km) susulan pertambahan jumlah kenderaan yang menghala ke Stadium Nasional Bukit Jalil, tengah hari ini.
Berdasarkan laporan Astro Radio Traffic pada pukul 1.38 tengah hari, kesesakan berlaku dari Pavilion Bukit Jalil sehingga Bulatan Lumba Kuda.
Keadaan itu turut menjejaskan aliran trafik dari Jalan Merah Caga dan Jalan Barat apabila kenderaan mula memenuhi laluan menuju ke kawasan stadium.
Situasi berkenaan turut dikongsikan pengguna media sosial yang memaklumkan kesesakan sudah mula dirasai beberapa jam sebelum acara berlangsung.
Seorang pengguna Threads, @q_u_r_r_a_t_u berkata, keadaan trafik di Bukit Jalil dilihat mula sesak lebih awal.
“Awal lagi dah sesak. Semoga berjaya semua,” tulisnya.
Sementara itu, @baiti_mohd mendakwa laluan menuju ke Axiata Arena sudah mula mengalami kesesakan sejak pukul 12 tengah hari.
“Semoga berjaya korang yang hendak pergi konsert TokTi. Pukul 12 sudah sesak melekat jalan ke Axiata,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan kawasan parkir berhampiran stadium sudah mula dipenuhi kenderaan seawal pukul 10 pagi meskipun konsert hanya dijadualkan bermula pada pukul 8.30 malam.
Hari ini, Stadium Nasional Bukit Jalil menjadi tumpuan bersempena Konsert Tradisional Gema Bumantara yang menampilkan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Bagi menampung pergerakan penonton selepas konsert, operasi Stesen LRT Bukit Jalil serta perkhidmatan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling dan MRT Laluan Putrajaya dilanjutkan sehingga pukul 1 pagi esok.
Selain konsert Gema Bumantara, Pavilion Bukit Jalil turut mempunyai beberapa acara yang berlangsung hujung minggu ini termasuk Hot Wheels Monster Trucks Live: Glow-N-Fire selain beberapa acara lain. – KOSMO! ONLINE
The post Bukit Jalil sesak 2.5 kilometer sejak tengah hari appeared first on Kosmo Online.


![[VIDEO] Sesak 12km Sungai Buaya-Bukit Tagar gara-gara ayam](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-17-at-15.39.12-1024x692.jpeg)



