‘Buku Pink’ ada data sulit, bukan semua orang berhak tengok

LocalHealth & Fitness
16 Jul 2026 • 11:52 AM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

‘Buku Pink’ ada data sulit, bukan semua orang berhak tengok

KUALA LUMPUR – Buku rekod kesihatan ibu mengandung atau lebih dikenali sebagai buku pink bukan dokumen yang boleh diminta atau diperiksa sewenang-wenangnya oleh mana-mana pihak hanya kerana timbul rasa curiga terhadap seseorang wanita hamil.

Peguam dan pempengaruh, Aminahtul Mardiah berkata, buku rekod tersebut mengandungi pelbagai maklumat peribadi serta rekod kesihatan yang dilindungi dan tidak boleh didedahkan tanpa asas undang-undang yang sah.

Menurutnya, persepsi terhadap bentuk fizikal wanita hamil tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mempertikaikan kehamilan seseorang sehingga meminta mereka menunjukkan dokumen perubatan.

“Orang mengandung bentuk dan saiz perutnya berbeza-beza. Jangan sebab kita rasa perut seseorang tidak nampak besar, kita terus mempertikaikan kehamilannya.

“Buku pink ini ibarat pasport untuk wanita hamil. Ia mengandungi maklumat kesihatan yang sangat sensitif dan bukan dokumen yang boleh diminta oleh sesiapa sahaja,” katanya menerusi satu hantaran video di TikTok.

Beliau menjelaskan, hanya pihak yang mempunyai kuasa di sisi undang-undang seperti polis ketika menjalankan siasatan atau mahkamah melalui proses perundangan tertentu boleh mendapatkan dokumen berkenaan.

“Kalau polis menjalankan siasatan, mereka boleh minta dalam kapasiti siasatan. Kalau di mahkamah pula, peguam perlu memohon secara rasmi daripada hospital melalui prosedur yang ditetapkan.

“Bukan sekadar sebab seseorang itu sekuriti atau mengesyaki individu mencuri, terus boleh minta buku pink. Tidak boleh,” katanya.

Aminahtul turut menjelaskan bahawa pihak hospital sendiri tidak akan menyerahkan rekod perubatan seseorang tanpa permohonan rasmi atau kebenaran yang sah kerana maklumat kesihatan merupakan data peribadi yang dilindungi.

Mengulas tindakan yang boleh diambil sekiranya seseorang dipaksa atau diugut untuk menyerahkan buku rekod kehamilan, beliau menasihatkan mangsa supaya membuat laporan polis sekiranya terdapat unsur ugutan atau ancaman terhadap keselamatan.

“Kalau ada ugutan terhadap keselamatan atau nyawa, itu sudah melibatkan elemen jenayah. Buat laporan polis dan biar pihak berkuasa menjalankan siasatan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa sekiranya sesebuah premis mengesyaki berlaku kecurian, tindakan sewajarnya ialah menyerahkan siasatan kepada polis serta menggunakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) sebagai bahan bukti, bukannya memaksa individu menyerahkan dokumen peribadi.

Terdahulu, tular di media sosial satu insiden membabitkan seorang wanita hamil yang didakwa diminta menunjukkan buku rekod kehamilannya oleh kakitangan sebuah pasar raya selepas kehamilannya dipersoalkan dan dia turut dituduh mencuri, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved