Permintaan khidmat ujian dan pensijilan SIRIM melonjak 48%, buku tempahan cecah RM28 juta

LocalBusiness & Finance
22 Sep 2026 • 4:26 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Permintaan khidmat ujian dan pensijilan SIRIM melonjak 48%, buku tempahan cecah RM28 juta Image from: Permintaan khidmat ujian dan pensijilan SIRIM melonjak 48%, buku tempahan cecah RM28 juta liza22/09/2026 - 16:26 Nik Sazali Nik Hussin Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 22 Sept – Permintaan terhadap perkhidmatan ujian, pensijilan, kalibrasi dan latihan SIRIM Berhad melonjak 48% dalam tempoh setahun, mencerminkan peningkatan keperluan industri terhadap pematuhan piawaian bagi menembusi pasaran domestik dan antarabangsa.

 

Pertumbuhan itu jauh lebih tinggi berbanding 7% yang dicatatkan pada tahun sebelumnya yang menunjukkan peningkatan ketara dalam penggunaan perkhidmatan SIRIM oleh pemain industri.

 

SIRIM berkata, sebanyak 28,700 pelanggan menggunakan perkhidmatannya sepanjang tahun manakala program latihan yang dijalankan berjaya mencapai hampir 25,000 tenaga industri.

 

Daripada jumlah peserta latihan itu, lebih 23,000 terdiri daripada usahawan dan pekerja Bumiputera, menunjukkan skala sokongan SIRIM dalam membangunkan keupayaan pemain industri tempatan.

 

Lebih menarik, buku tempahan SIRIM meningkat lebih dua kali ganda kepada RM28 juta daripada RM12.1 juta manakala tahap kepuasan pelanggan kekal melebihi 90%.

 

Lonjakan permintaan seiring transformasi industri

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM, Nik Sazali Nik Hussin berkata peningkatan permintaan itu mencerminkan keperluan syarikat Malaysia untuk membuktikan pematuhan terhadap piawaian yang diperlukan bagi mendapatkan akses kepada pasaran domestik dan antarabangsa.

 

Katanya, tumpuan negara untuk menggerakkan syarikat ke sektor bernilai lebih tinggi di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) turut meningkatkan kepentingan perkhidmatan SIRIM.

 

Dalam usaha memenuhi permintaan industri yang semakin berkembang, SIRIM turut mempercepatkan proses perkhidmatannya menerusi penggunaan automasi dan pendigitalan.

 

Langkah itu membolehkan tempoh pemprosesan bagi bidang tertentu dipendekkan daripada beberapa minggu kepada hanya beberapa hari yang dapat membantu syarikat mempercepatkan pelancaran produk, pengembangan operasi dan aktiviti eksport.

 

SIRIM juga terus memperluaskan keupayaannya dalam bidang berteknologi dan bernilai tinggi termasuk alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), kecerdasan buatan (AI), kenderaan elektrik (EV), semikonduktor, peranti perubatan dan aeroangkasa.

 

RM474.39 juta dana pembangunan

SIRIM turut diamanahkan dengan dana pembangunan berjumlah RM474.39 juta bagi melaksanakan pelbagai program nasional, termasuk RM300 juta di bawah Dana Pembangunan Perindustrian NIMP.

 

Pada 2025, SIRIM berjaya mengurangkan tempoh pemprosesan sehingga 98% bagi bidang ujian terpilih, mencerminkan usaha berterusan organisasi itu untuk mempercepatkan penyampaian perkhidmatan kepada industri.

 

Bagi kategori termasuk peralatan elektrik dan produk keselamatan, tempoh penyelesaian proses turut dipendekkan antara empat hingga tujuh hari.

 

Dalam masa sama, SIRIM terlibat dalam Program Smart Tech Up yang dimandatkan kerajaan di bawah NIMP 2030, dengan sasaran mencapai 3,000 peserta di seluruh negara menjelang 2030.

 

Dengan permintaan perkhidmatan yang melonjak, buku tempahan yang meningkat lebih dua kali ganda serta peluasan keupayaan ke sektor baharu, SIRIM terus memainkan peranan dalam membantu syarikat Malaysia memenuhi piawaian dan mempercepatkan akses kepada pasaran bernilai lebih tinggi.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved