
Sekurang-kurangnya 34 pelajar dan seorang guru wanita maut selepas bumbung sebuah sekolah runtuh ketika sesi pembelajaran pagi di Peshawar, utara Pakistan, lapor The Guardian.
Bumbung sekolah runtuh ketika sesi pembelajaran
Ibu bapa dan ahli keluarga yang panik dilaporkan berpusu-pusu ke lokasi kejadian di Sekolah Al-Khair, sebuah sekolah swasta, bagi mencari anak dan ahli keluarga masing-masing.
Pasukan penyelamat mengambil masa beberapa jam untuk mengeluarkan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan berkenaan.
Kebanyakan mangsa berusia bawah 13 tahun dan berasal daripada keluarga berpendapatan rendah. Sekurang-kurangnya 45 pelajar turut mengalami kecederaan, daripada luka ringan hingga trauma serius, menurut Pengarah Wilayah Perkhidmatan Kecemasan, Arif Khattak.
Rakaman televisyen menunjukkan anggota penyelamat mengalihkan runtuhan menggunakan tangan sebelum membawa pelajar yang berlumuran darah ke ambulans yang menunggu di lokasi kejadian.
Seorang pegawai penyelamat berkata, bumbung tingkat atas runtuh menimpa bilik darjah di bawahnya sehingga menyebabkan dua tingkat bangunan itu rosak teruk.
Jurucakap Hospital Lady Reading, Mohammad Asim, mengesahkan bahawa mangsa yang maut termasuk 12 pelajar perempuan dan seorang guru wanita.
Beliau berkata, tiga pelajar masih berada dalam keadaan kritikal akibat kecederaan di kepala, manakala kebanyakan mangsa yang dibawa ke hospital telah menerima rawatan dan dibenarkan pulang.
Khattak berkata, kejadian berlaku pada 8.48 pagi waktu tempatan (3.48 pagi GMT), manakala operasi menyelamat berlangsung selama empat hingga lima jam.
Ketua Polis Peshawar, Mian Saeed, berkata kejadian dipercayai berpunca daripada struktur bangunan yang lemah.
“Struktur bangunan itu lemah. Bumbungnya menanggung beban tambahan akibat kerja pembinaan pada struktur yang tidak kukuh, sekali gus menyebabkan kejadian runtuhan,” katanya.
Saeed berkata, pemilik sekolah telah ditahan dan siasatan berhubung kejadian itu sedang dijalankan.
Ketika kejadian, seramai 110 pelajar sedang mengikuti pembelajaran di tiga bilik darjah.
Ahli keluarga yang bersedih turut mendakwa pihak sekolah mengabaikan kebimbangan mereka berhubung keadaan bangunan itu dan menuntut pihak bertanggungjawab dikenakan tindakan.
Baca juga:“Jadikan mereka sebagai pengajaran kepada semua supaya tiada pihak berani membuka sekolah semata-mata untuk mencari keuntungan tanpa menyediakan kemudahan yang sewajarnya,” kata Mohammad Zaman, yang kehilangan dua anak saudaranya dalam kejadian itu.
Sekolah berkenaan terletak di kawasan kejiranan padat penduduk dan berpendapatan rendah di Peshawar, ibu negeri wilayah Khyber Pakhtunkhwa.
Pada Ahad, Presiden Pakistan, Asif Ali Zardari, mengisytiharkan darurat di wilayah itu dengan mendakwa kerajaan negeri gagal menangani ancaman militan Islam dari negara jiran, Afghanistan. Bagaimanapun, dakwaan tersebut dinafikan oleh kerajaan wilayah berkenaan.
Pakistan memperuntukkan kurang daripada satu peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara yang dianggarkan berjumlah AS$450 bilion (RM1.9 trilion) untuk sektor pendidikan, menyebabkan banyak keluarga bergantung pada sekolah swasta berkos rendah.
Sebahagian sekolah berkenaan beroperasi di bangunan sewa yang kurang diselenggara dengan pengawasan terhad, sekali gus menimbulkan kebimbangan berulang berhubung aspek keselamatan.
Pada Jun lalu, sekurang-kurangnya 14 kanak-kanak dilaporkan maut apabila bumbung sebuah pusat tuisyen yang beroperasi di bangunan usang runtuh di Lahore, timur Pakistan.
Setakat ini, pihak pengurusan sekolah berkenaan belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi.
Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, turut melahirkan rasa dukacita atas tragedi itu dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, menurut pejabat beliau.
Sementara itu, Jawad Ahmad, yang anak lelaki dan anak perempuannya terselamat dalam kejadian itu, berkata berita mengenai runtuhan berkenaan amat meruntun hatinya.
“Rasanya seperti seseorang menembak dada saya apabila saya mendapat tahu bangunan sekolah itu runtuh,” katanya.
Wilayah Khyber Pakhtunkhwa yang sekian lama ditadbir parti pimpinan bekas Perdana Menteri Pakistan yang dipenjarakan, Imran Khan, sering berdepan ketegangan dengan kerajaan persekutuan.
Pengisytiharan darurat pada Ahad dan pelantikan gabenor baharu oleh Zardari dijangka menambah ketegangan antara kerajaan wilayah dengan pentadbiran persekutuan.





