![Image from: [VIDEO] Bunuh di sekolah: Bapa, keluarga iringi perjalanan akhir Irene Sofiya](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-04-at-20.08.47-1024x780.jpeg)
BATU PAHAT – Bapa kepada Allahyarhamah Irene Sofiya Mohd. Khairool Faisal, 16, mengiringi perjalanan terakhir anaknya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Arshad, di sini, malam ini.
Jenazah pelajar Tingkatan Empat itu selamat dikebumikan selepas solat maghrib, selepas selesai menjalani proses bedah siasat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) kira-kira pukul 5 petang.
Jenazah kemudian dibawa pulang ke rumah keluarga di Kampung Parit Selamat untuk penghormatan terakhir sebelum dibawa ke tanah perkuburan berkenaan.
Suasana pilu menyelubungi pekarangan rumah keluarga apabila ahli keluarga, saudara-mara dan kenalan hadir memberikan penghormatan terakhir kepada arwah.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Irene Sofiya ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah dewan di sebuah sekolah di Yong Peng, di sini, petang semalam.
Mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian muka dan badan sebelum disahkan meninggal dunia.
Kejadian itu turut membawa kepada penahanan seorang remaja lelaki bagi membantu siasatan berhubung kematian pelajar berkenaan.
Kes disiasat mengikut peruntukan undang-undang berkaitan kesalahan membunuh dan suspek telah direman bagi membantu siasatan polis.
Allahyarhamah yang merupakan pelajar Tingkatan Empat itu disifatkan rakan-rakan sebagai seorang pelajar yang baik serta mempunyai potensi dalam akademik.-KOSMO! ONLINE
View this post on Instagram
The post [VIDEO] Bunuh di sekolah: Bapa, keluarga iringi perjalanan akhir Irene Sofiya appeared first on Kosmo Online.






