
BATU PAHAT – Ahli keluarga pelajar tingkatan empat yang mati dibunuh di dalam sebuah sekolah di Yong Peng dekat sini semalam memberitahu mangsa merupakan anak jurutera dan doktor pakar kesihatan awam.
Bagaimanapun, ibu mangsa yang merupakan doktor tersebut telah meninggal dunia ketika dia berusia sembilan tahun akibat kanser hati manakala bapanya masih hidup dan bekerja sebagai jurutera di Bangi, Selangor.
Ekoran itu, mangsa, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, bercita-cita menyambung legasi arwah ibunya untuk menjadi doktor pakar di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.
Ibu saudaranya, Siti Nur Faeza Khyar, 45, berkata, arwah pernah memberitahu mengenai cita-citanya itu sebelum ini.
“Fiya (Irene Sofiya) pernah bercakap kepada saya… dia bertanya doktor apa sesuai untuknya. Saya jawab lebih baik jadi doktor pakar sakit puan.
“Dia cakap hendak menjadi doktor seperti arwah ibunya,” katanya ketika ditemui di kediaman ibu bapa beliau di Kampung Parit Selamat, Yong Peng malam tadi.
Siti Nur Faeza yang juga seorang guru berkata, arwah adalah seorang yang rajin belajar dan sangat baik, selain tidak pernah menimbulkan masalah kepada keluarga.
Beliau berkata, arwah juga adalah seorang yang pendiam dan rajin mengulang kaji pelajaran, malah sering memperoleh keputusan cemerlang di sekolah.
“Kalau ada peperiksaan, Fiya sama ada mendapat tempat pertama ataupun kedua dalam tingkatan.
“Dia juga berpotensi memperoleh keputusan 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan di sekolahnya.
“Fiya adalah antara pelajar harapan keluarga dan sekolah. Dia memang suka mengulang kaji dan sangat fokus terhadap pelajaran,” katanya.
Berhubung kejadian menimpa mangsa, Siti Nur Faeza berkata, beliau tidak dapat membayangkan ketakutan dan kesakitan yang dilalui anak saudaranya itu, terutama ketika berada di dalam dewan sekolah yang gelap.
Beliau turut bersama ibunya, Jameyah Rabani, 65, keluar mencari Irene Sofiya pada hari kejadian selepas dimaklumkan bahawa mangsa tidak pulang ke rumah selepas kelas tambahan berakhir pada jam 5 petang semalam.
“Saya tidak dapat membayangkan kesakitan dan kesengsaraan yang dia tanggung sebelum kami menemuinya. Bayangkan dia berada dalam kesakitan dengan berlumuran darah, namun tiada siapa tahu keadaannya ketika itu.
“Tindakan pelaku sangat kejam. Kami berharap polis dapat menjalankan siasatan dan memastikan individu yang bertanggungjawab menerima hukuman setimpal,” katanya.
The post Bunuh di sekolah: Irene Sofiya anak pasangan doktor, jurutera appeared first on Kosmo Online.






